Aswara rai 320 graduan, tiga karyawan terima Ijazah Kedoktoran

Saraya (duduk, tengah) dan Ruslan (duduk, lima kiri) bersama dengan tenaga pengajar dan sebahagian graduan yang diraikan pada majlis Istiadat Konvokesyen Aswara kali ke-17.
Saraya (duduk, tengah) dan Ruslan (duduk, lima kiri) bersama dengan tenaga pengajar dan sebahagian graduan yang diraikan pada majlis Istiadat Konvokesyen Aswara kali ke-17.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Istiadat Konvokesyen Aswara kali ke-17 yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade di sini pada Ahad, berlangsung penuh meriah.

Aswara merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi yang berteraskan bidang seni, budaya dan warisan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Istiadat berprestij yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi itu

merupakan pengiktirafan ke atas kejayaan para graduan yang telah menamatkan pengajian mereka dalam bidang seni, budaya dan warisan.

Majlis Istiadat Konvokesyen Aswara kali ke-17 dijayakan dengan penuh tradisi.
Majlis Istiadat Konvokesyen Aswara kali ke-17 dijayakan dengan penuh tradisi.

Penyampaian penganugerahan merangkumi Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif, Ijazah Sarjana Seni Kreatif, Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dan Diploma kepada keseluruhan 320 orang graduan.

Daripada keseluruhan graduan, tiga orang dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif, lima orang bagi Ijazah Sarjana Seni Kreatif, lapan orang penerima adiguru, manakala bagi Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian seramai 115 orang dan penganugerahan diploma melibatkan seramai 197 graduan.

Artikel Berkaitan:

Turut diraikan dalam istiadat itu ialah penganugerahan Diploma Seni Muzik Aswara - TLDM 2021 kepada 56 orang graduan.

Pengarah muzik dan komposer, Datuk Johari Salleh menerima Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif.
Pengarah muzik dan komposer, Datuk Johari Salleh menerima Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif.

Lebih istimewa, Ketua Pengarah Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Datuk Seri Dr Abdul Khani Daud iaitu graduan Pasca Siswazah Aswara adalah penerima Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif pada istiadat konvokesyen kali ini.

Ini membuktikan mutu pengajian dan pembelajaran di Aswara menjadi pilihan kakitangan pengurusan dan profesional untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi dalam konteks seni, budaya dan warisan.

Majlis turut diserikan lagi dengan penganugerahan Anugerah Emas Rektor yang telah dinobatkan kepada pelajar pengajian Diploma Teater, S Dharveen dan pelajar pengajian Ijazah Sarjana Muda Penulisan dengan Kepujian (Penulisan Kreatif), Siti Nurul Hayani Bahanudin.

Penganugerahan kepada dua graduan ini dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek kecemerlangan dan melalui proses penilaian yang terperinci di peringkat fakulti dan pengurusan Aswara.

Tingkatkan jenama Aswara

Sementara itu, Rektor Aswara, Prof Dr Ruslan Abdul Rahim berkata, sebagai sebuah agensi di bawah MOTAC, Aswara turut mempertingkatkan sistem penyampaian dan perkhidmatan yang lebih baik ke arah inovasi pendigitalan dan mengantarabangsakan jenama Aswara.

“Usaha pendigitilan ini dirasakan lebih relevan kerana kita sedang menyantuni generasi muda yang membesar dalam era ‘ubiquitos technology’.

“Penggunaan komputer dan internet telah menjadi satu kemestian ketika pandemik Covid-19. Proses pengajaran dan pembelajaran di Aswara juga tidak ketinggalan dalam meneruskan pendekatan dan kaedah baharu secara dalam talian atau online,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Pengarah filem, penulis skrip dan pelakon, Adman Salleh, turut menjadi penerima Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif.
Pengarah filem, penulis skrip dan pelakon, Adman Salleh, turut menjadi penerima Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif.

Selain itu katanya, Aswara meneruskan usaha memantapkan akademi ini sebagai institusi pendidikan seni, budaya dan warisan paling unggul di Malaysia serta antara yang terbaik di dunia.

Beliau berharap agar dengan penganjuran Istiadat Konvokesyen Ke-17 ini, para graduan akan terus melakar kejayaan di dalam lapangan seni, budaya dan warisan negara selaras dengan aspirasi Aswara untuk melahirkan karyawan dan seniman yang bukan sahaja cemerlang dalam pencapaian akademik, malah cemerlang secara holistik serta seimbang dalam segenap aspek.

Katanya, kejayaan para graduan Aswara pada hari ini diharap menjadi pemangkin untuk menyumbang kepada pembentukan masyarakat dan pembinaan tamadun manusia yang menjunjung tinggi nilai seni, budaya dan warisan.

“Pendidikan di Aswara bukanlah persiapan bagi kehidupan seni, tetapi merupakan kehidupan seni itu sendiri,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!