Piala Dunia 2022: Senegal sambar slot kalah mati

Koulibaly muncul wira bagi membantu Senegal meraih kemenangan ke atas Ecuador di Stadium Antarabangsa Khalifa. - Foto EPA
Koulibaly muncul wira bagi membantu Senegal meraih kemenangan ke atas Ecuador di Stadium Antarabangsa Khalifa. - Foto EPA
A
A
A

KALIDOU Koulibaly muncul wira bagi membantu Senegal meraih kemenangan 2-1 ke atas Ecuador, sekali gus membawa pasukan Afrika itu ke pusingan kalah mati Piala Dunia Qatar 2022.

Dalam aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa, kapten Senegal itu meledak gol kemenangan pada minit ke-70, hanya tiga minit selepas Moises Caicedo menyamakan kedudukan buat Ecuador.

Ismaila Sarr terlebih dahulu menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama untuk meletakkan Senegal di depan dalam aksi terakhir Kumpulan A itu.

Dengan kemenangan itu, Senegal menghuni tangga kedua Kumpulan A dengan enam mata - satu di belakang pendahulu, Belanda yang menewaskan tuan rumah, Qatar 2-0.

Ecuador yang hanya perlu seri untuk layak ke pusingan kalah mati buat kali kedua selepas edisi 2006, menamatkan saingan di tangga ketiga dengan mengumpul empat mata.

Malang terus menimpa Qatar apabila menghuni tangga tercorot Kumpulan A selepas gagal meraih sebarang mata setelah tewas dalam kesemua tiga perlawanan.

Dalam pusingan 16 terbaik, Senegal yang kehilangan khidmat kapten, Sadio Mane akibat kecederaan kini menanti juara Kumpulan B yang menampilkan England, Iran, Amerika Syarikat dan Wales.

Artikel Berkaitan: