Piala Dunia 2022: Belanda tepati ramalan

Gakpo meledak gol pertama Belanda ketika aksi menentang Qatar di Stadium Al-Bayt. - Foto EPA
Gakpo meledak gol pertama Belanda ketika aksi menentang Qatar di Stadium Al-Bayt. - Foto EPA
A
A
A

PASUKAN pilihan, Belanda menepati ramalan mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia Qatar 2022 selepas menewaskan Qatar 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A.

Dalam aksi di Stadium Al-Bayt itu, Belanda dan Qatar saling mengasak ke kubu lawan masing-masing sebaik wisel permulaan dibunyikan.

Belanda memperoleh gol pembukaan menerusi penyerang muda yang sedang meningkat naik, Cody Bakpo pada minit ke-26 selepas menyudahkan hantaran Memphis Depay.

Jaringan itu menyaksikan Gakpo mencipta sejarah sebagai pemain Belanda pertama menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan pertama Piala Dunia.

Sekalipun ketinggalan, Qatar tetap beberapa kali menguji barisan pertahanan Belanda, namun dikecewakan dengan penyudah yang tumpul.

Sebaik babak kedua bersambung, Belanda berjaya menambah jaringan, kali ini menerusi pemain tengah Barcelona, Frenkie de Jong pada minit ke-49.

Jong pantas menyambar bola untuk merobek gawang lawan selepas rembatan awal Depay berjaya ditepis penjaga gol Qatar, Meshaal Barsham.

Qatar cuba bangkit untuk memburu jaringan pada baki 40 minit terakhir perlawanan, namun masih gagal memperoleh sebarang jaringan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu menyaksikan Belanda memimpin carta Kumpulan A dengan tujuh mata diikuti Senegal yang memperoleh enam mata, manakala Ecuador (empat) dan Qatar tanpa sebarang mata.