DUN Tioman: Calon BN bertemu calon PH, bincang strategi kempen

Mohd Johari - Foto Bernama
Mohd Johari - Foto Bernama
A
A
A

ROMPIN - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, beliau akan bertemu calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly dalam masa terdekat untuk membincangkan gerak kerja dan strategi kempen.

Beliau berkata, ini susulan Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini bersetuju calonnya yang mewakili PH memberi laluan kepada BN bagi kerusi DUN Tioman.

"Saya sekarang di peringkat awal perbincangan bersama dengan wakil-wakil tersebut (PH) bagi kita merangka strategi gabungan yang terbaik sebelum melangkah ke peringkat lebih jauh.

"Ini juga adalah bagi memastikan kelancaran dalam kita berkempen kerana ini satu perkara yang bagi saya agak luar biasa berlaku di Pahang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama penduduk di Kampung Jawa Pantai di sini hari ini.

Mohd Johari juga berharap jentera kedua-dua parti dapat bekerjasama dengan baik dalam meraih sokongan pengundi berdasarkan perkembangan semasa yang menyaksikan gandingan BN dan PH untuk membentuk kerajaan negeri Pahang.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan memberikan laluan itu sebagai tanda kesepakatan serta memperkukuh Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri Pahang dan nasional.

Dalam pilihan raya itu, Mohd Johari sepatutnya berhadapan saingan lima penjuru melibatkan Mohd Fadzli, Nor Idayu Hashim (Perikatan Nasional), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas). - Bernama

Artikel Berkaitan: