Pasaran getah ditutup tinggi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PASARAN getah Malaysia mengalami lantunan untuk ditutup tinggi pada Selasa, disokong oleh kenaikan penanda aras harga minyak mentah dan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), walaupun menyaksikan petunjuk lebih lemah dari pasaran niaga hadapan getah serantau.

Peniaga berkata, sentimen pasaran dirangsangkan oleh laporan kukuh dan positif mengenai hartanah China dan perdagangan China-AS namun, pergolakan orang ramai terhadap sekatan Covid-19 dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu telah menyuramkan prospek.

“Saham dan bon pemaju hartanah China dilaporkan melonjak hari ini selepas pihak pengawal selia menarik balik larangan pembiayaan semula ekuiti untuk firma tersenarai, justeru, ia adalah langkah sokongan terbaharu terhadap sektor yang mengalami kekurangan dana yang dilihat menjadi tonggak utama ekonomi kedua dunia itu.

“Selain itu semalam, kementerian kewangan China mengumumkan lanjutan pengecualian tarif ke atas beberapa produk import dari AS sehingga 31 Mei, 2023,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dalam pasaran telah dikekang oleh data ekonomi China yang kurang memberangsangkan.

Keuntungan perindustrian China dilaporkan susut tiga peratus dalam tempoh 10 bulan tahun ini berbanding setahun sebelumnya berikutan pandemik Covid-19 merebak dan bandar-bandar mengenakan sekatan baharu termasuk penutupan bersasar sekali gus melembapkan aktiviti ekonomi.

Harga rujukan bagi getah fizikal oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 meningkat 15.5 sen kepada 574.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik empat sen kepada 464 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutup oleh LGM untuk GMM 20 berada pada 569.5 sen sekilogram dan susu getah pukal pada 462 sen sekilogram. - Bernama

Artikel Berkaitan: