Petronas majikan paling popular dalam kalangan graduan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) tersenarai sebagai majikan paling popular dalam kalangan pelajar dan graduan tempatan untuk bekerja pada tahun 2022.

Senarai itu dikeluarkan oleh GTI Media (Graduate Jobs and Internship) di Malaysia menerusi tinjauan yang dilakukan bermula Januari hingga September 2022, melibatkan 30,621 pelajar dan graduan daripada 171 universiti awam, swasta dan luar negara.

Pengarah Urusan GTI Media di Malaysia, Isaac Hee memaklumkan, populariti kerjaya dalam kalangan siswazah bagi industri perkhidmatan perbankan dan kewangan menurun pada tahun 2022.

Malayan Banking Bhd (Maybank) jatuh ke tempat ketiga selepas berada di tempat pertama selama empat tahun berturut-turut sejak 2018. Tidak terkecuali, RHB Banking Group, yang jatuh ke tempat keempat tahun ini berbanding tempat kedua pada tahun 2021.

“Bank-bank lain seperti Bank Islam, Kumpulan CIMB dan Public Bank juga mengalami kemerosotan populariti dalam kalangan graduan tahun ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Isaac, perubahan itu berkemungkinan mencerminkan sentimen graduan untuk beralih ke arah pasaran yang lebih luas pada tahun ini.

Ujarnya, apabila ketidakstabilan kedua-dua pasaran kewangan global dan tempatan pada tahun 2022 menjadi pertimbangan, tidak mustahil graduan akan ragu-ragu untuk memulakan kerjaya dalam industri perbankan pada masa kini.

“Ini kerana keadaan sedemikian kelihatan seolah-olah berisiko. Situasi ini jelas terasa terutamanya dengan kenaikan mendadak kos sara hidup tempatan.

Artikel Berkaitan:

“Sukar untuk menggambarkan keadaan dalam sektor perbankan dan kewangan tempatan apabila melihat nilai ringgit yang sentiasa menyusut dan perlu membayar 20 hingga 30 peratus lebih untuk segala-galanya walaupun masih bergelar pelajar,” jelasnya.

Beliau berkata, terdapat lima faktor utama mempengaruhi graduan untuk memilih majikan iaitu bekerja di bawah pemimpin berwibawa, perkembangan dan pembangunan sahsiah peribadi serta mempunyai keseimbangan kerjaya dan kehidupan yang bagus.

Selain itu, faktor lain ialah memiliki peluang cerah dalam kemajuan kerjaya serta penggajian dan imbuhan yang baik.

Menurut kaji selidik sama, graduan diminta untuk mengenal pasti manfaat pekerja atau ganjaran yang paling menarik bagi mereka selain penggajian.

Tiga manfaat utama yang menjadi idaman ialah perlindungan insurans perubatan di bawah pelan syarikat, waktu bekerja yang fleksibel dan perlindungan insurans perubatan termasuk ahli keluarga terdekat.

Tambah Isaac, buat kali pertama sejak tinjauan bermula pada tahun 2008, graduan secara terbuka memilih penggajian dan imbuhan sebagai antara lima faktor utama yang mempengaruhi pemilihan majikan.

"Graduan kebiasaannya cenderung untuk merendahkan kepentingan gaji kerana bimbang kelihatan terlalu mengikut kehendak.

"Tetapi hakikatnya pada tahun ini, mereka akhirnya cukup berani untuk menyatakannya secara terbuka dan ini menggambarkan betapa bimbangnya mereka tentang kos sara hidup pada masa hadapan,” jelasnya.

Ini merupakan kali kedua Petronas memenangi tempat pertama dalam senarai 100 majikan siswazah yang paling popular di Malaysia, selepas kemenangan terakhirnya pada tahun 2015.

Tempat kedua dan ketiga dalam senarai tersebut masing-masing adalah firma perakaunan dan profesional Ernst & Young (EY), diikuti oleh Maybank.