Polis tahan 152 bookie bola sepak Piala Dunia

Seramai 152 bookie ditahan dalam 129 serbuan di seluruh negara. - Gambar hiasan.
Seramai 152 bookie ditahan dalam 129 serbuan di seluruh negara. - Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 152 individu disyaki bookie pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022 ditahan dalam Ops Soga IX sejak 19 November lalu hingga Isnin.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kesemua individu itu ditahan dalam 129 serbuan di seluruh negara.

"Seramai 38 individu ditahan di Selangor, Johor (29), Pulau Pinang (18), Sarawak (15), Kedah (12), Negeri Sembilan (11), Kuala Lumpur (7), Pahang dan Sabah (enam), Melaka (empat), Perak (tiga), Kelantan (dua) serta seorang ditahan di Terengganu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Noorsiah berkata, pihaknya turut merampas nilai had kredit dalam perisian berjumlah RM3.1 juta dan RM113,140 wang tunai dipercayai wang pertaruhan.

"Kita turut merampas 151 telefon bimbit, tiga unit komputer, lima unit komputer riba, dua unit tablet, dua unit router, 54 keping kad sim, 16 helai kertas catitan yang mempunyai disyaki pertaruhan dan 14 keping jadual perlawanan kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022," katanya.

Beliau berkata, fokus utama Op Soga IX adalah untuk mencegah dan membanteras kegiatan catit taruh tanpa lesen yang sah sepanjang Piala Dunia Qatar 2022 berlangsung.

"Ia juga bertujuan menangkap sindiket mahupun individu yang bertindak sebagai bookie seterusnya mendakwa mereka di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Noorsiah berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan, berlandaskan undang-undang sedia ada dalam usaha menangani aktiviti perjudian.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian, boleh menyalurkan maklumat tersebut melalui hotline WhatsApp Op Soga IX di talian 016-5773477," ujarnya.