Amanah Kedah lapor polis terhadap calon PN Padang Serai

Dr Ismail menunjukkan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada Selasa.
Dr Ismail menunjukkan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah mahu siasatan dilakukan terhadap calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin yang didakwa mengeluarkan kenyataan mempunyai unsur penderhakaan dan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam kempen ceramahnya baru-baru ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas itu didakwa mengeluarkan kenyataan kononnya kerajaan yang dibentuk ketika ini adalah 'kerajaan zina'.

Dr Ismail memberitahu, Azman dipercayai membuat kenyataan itu semasa berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Padang Serai pada 26 November lepas.

"Tindakan Azman itu seolah-olah mempertikaikan sebuah Kerajaan Perpaduan melalui titah Al-Sultan Abdullah yang juga mendapat persetujuan daripada Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja.

"Dalam tempoh ini, beliau tidak seharusya melampaui batas begitu rupa sehingga tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataaan dengan unsur-unsur hina dan derhaka," katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini pada Selasa.

Beliau menasihatkan Azman supaya berkempen secara berhemah dengan membentangkan dasar parti dan manifesto masing-masing berbanding membangkitkan isu menyentuh institusi raja dan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau memberitahu, antara individu lain turut dinamakan dalam laporan terbabit termasuklah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

"Laporan ke atas Muhammad Sanusi dibuat kerana mempertikaikan proses pengampunan penuh Diraja pada tahun 2018 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kempen di Tambun pada 13 November lepas.

Artikel Berkaitan:

"Bagi Abdul Hadi, beliau telah membuat kenyataan berbentuk sindirian mengatakan pengadil perlawanan bola sepak yang tidak adil boleh menentukan menang atau kalah satu pasukan yang bertanding pada 27 November lalu," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap siasatan dilakukan terhadap tiga pemimpin politik terbabit yang didakwa mengeluarkan kenyataan mempunyai unsur penderhakaan dan penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mendesak kertas siasatan dibuka dan tindakan segera diambil mengikut Seksyen 298A dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

"Saya kira mereka ini patut segera dikenakan tindakan untuk memastikan bahawa keharmonian negara kita terjaga memandangkan isu utama negara kita adalah untuk membina semula negara setelah krisis Covid-19," katanya.