Sarawak harap diberi kuasa autonomi dalam isu pendidikan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Sarawak berharap kerajaan Persekutuan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mempertimbangkan untuk memberi kuasa autonomi kepada negeri itu dalam isu berkaitan pendidikan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, perkara itu perlu diberi pertimbangan sewajarnya kerana ia adalah aspirasi semua rakyat Sarawak.

"Kuasa Autonomi yang akan diberikan itu hendaklah termasuk perkara dasar dan pelaksanaan. Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan akan terus menyediakan pembiayaan yang diperlukan,” katanya dalam ucapan penggulungan bajet negeri 2023 di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini pada Selasa.

Beliau berkata, walaupun pendidikan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, namun kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan dalam hal pendidikan.

"Ini terbukti melalui pelbagai usaha yang dilaksanakan termasuk meningkatkan pelaksanaan pembangunan fizikal sekolah dan program pembangunan profesional secara berterusan kepada warga pendidik," katanya.

Pada 26 November, selepas pertemuan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Anwar berkata, hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak pastinya akan lebih erat dan diperkukuh di bawah Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Sagah berkata, pada masa ini tiada kekurangan guru yang kritikal di Sarawak, namun masih terdapat isu mengenai penempatan guru berikutan pengkhususan mata pelajaran dan hal berkaitan keluarga.

"Sudah menjadi dasar membenarkan pasangan mengajar di lokasi yang sama, kita tidak mahu suami mengajar di Lundu, manakala isteri mengajar di Lawas.

"Kita juga telah mencapai nisbah 90:10 guru Sarawak dan guru bukan dari Sarawak. Kita harus berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan atas usaha mencapai nisbah seperti yang diidamkan oleh semua rakyat Sarawak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sagah juga berkata, pembinaan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) akan dimulakan pada separuh pertama 2023 dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan. - Bernama