Dua lelaki ditahan terlibat judi Piala Dunia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BATU PAHAT - Dua lelaki ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan judi catit taruh bola sepak Piala Dunia di bandar Batu Pahat pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, suspek berusia 57 dan 62 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah restoran pada jam 8.45 malam.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis turut merampas dua telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM410.

“Hasil semakan juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai jumlah tahap (limit) akaun perjudian atas talian sebanyak RM15,000,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Tambah beliau, kedua-dua suspek akan dibawa ke hadapan Majistret bagi mendapatkan perintah reman bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

"Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 kerana menjalankan catit taruh judi bola sepak yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 ataupun dipenjara tidak melebihi lima tahun jika disabitkan kesalahan," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat perjudian bola sepak kepada pihak polis sepanjang Piala Dunia 2022.

Artikel Berkaitan: