Croatia belum boleh selesa

Pemain Croatia meraikan jaringan keempat Majer ketika berdepan Kanada dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha. - Foto EPA
Pemain Croatia meraikan jaringan keempat Majer ketika berdepan Kanada dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha. - Foto EPA
A
A
A

PENGENDALI Croatia, Zlatko Dalic mengakui gembira melihat finalis edisi Rusia 2018 itu mempamerkan prestasi terbaik ketika membenam Kanada, 4-1 dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Antarabangsa Khalifa, Al Rayyan.

Namun Dalic tetap mengingatkan para pemain The Blazers bahawa masih terdapat penambahbaikan perlu dilakukan pasukan menjelang aksi terakhir berdepan Belgium, sekiranya berhasrat melangkah lebih jauh.

"Ya, kami membuat satu langkah kecil bermula dari di sini, namun sebenarnya kami masih jauh daripada matlamat utama pasukan.

Sejujurnya kami tidak boleh menerima pilihan untuk hanya satu mata pada penghujung perlawanan berdepan pasukan Belgium selepas ini.

"Walaupun seri dengan Belgium akan membawa Croatia ke pusingan 16 terakhir, namun saya mahu para pemain mencipta kemenangan ke atas pasukan pilihan tersebut,” katanya selepas perlawanan.

Croatia bangkit daripada ketinggalan satu gol awal untuk menang 4-1 ke atas Kanada selepas seri tanpa jaringan berdepan Maghribi dalam perlawanan pembukaan 23 November lalu.

Kanada terlebih dulu bermula garang apabila mendahului hasil jaringan pemain kelab Bundesliga Jerman, Bayern Munich, Alphonso Davies pada minit kedua.

Croatia yang tersentak dengan jaringan itu kembali bangkit dengan empat gol kemudiannya dengan gol pemain kelab Bundesliga Jerman, 1899 Hoffenheim, Andrej Kramarić (36', 70').

Artikel Berkaitan:

Bintang kelab liga Croatia, Hadjuk Split, Marko Livaja turut menyumbang gol pada minit ke-44' bagi melebarkan jaringan kedudukan pendahulu pasukan.

Pemain kelab Ligue 1 Perancis Rennes, Lovro Majer kemudian menoktahkan kebangkitan Croatia dengan gol minit ke-94' untuk kemenangan mutlak.

Sementara itu, pengendali berusia 56 tahun tersebut memberi pujian kepada pemain Kanada, yang mendahului menerusi Davies sekali gus menjaringkan gol pertama pasukan berkenaan di pusingan akhir Piala Dunia.

"Kami menentang pasukan Kanada yang luar biasa, mereka penuh bertenaga. Mereka menjaringkan gol pada minit pertama yang memberikan mereka lebih tenaga dan kuasa, tetapi kami berjaya menstabilkan diri untuk memenangi perlawanan ini," kata Dalic.