Nurul Izzah dijangkiti Covid-19 lagi

Nurul Izzah
Nurul Izzah
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mengesahkan dirinya sekali lagi dijangkiti wabak Covid-19.

Menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri Majlis Kesyukuran dan Meraikan Jentera Permatang Pauh pada Isnin malam akibat penularan tersebut.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam Majlis Kesyukuran dan Meraikan Jentera P044 Permatang Pauh pada malam ini kerana telah dijangkiti Covid-19.

“Namun, majlis akan tetap berlangsung malam ini seperti yang telah dirancang.

“Insya-ALLAH saya akan bertemu para jentera yang telah membantu saya selama ini pada sesi yang seterusnya,” katanya.

Majlis kesyukuran yang dijadualkan bermula jam 6 petang hingga 10 malam itu diadakan sempena pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan dalam masa sama meraikan jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) Permatang Pauh.

Beliau turut memaklumkan hanya mengalami gejala ringan dan kini sedang menjalani tempoh kuarantin.

“Alhamdulillah, setakat ini saya hanya mengalami gejala ringan dan sedang menanti hari untuk selesai kuarantin dan suami untuk keluar dari wad. Mohon doakan.

Artikel Berkaitan:

“Mudah-mudahan majlis kesyukuran malam ini berjalan dengan lancar. Insya-ALLAH,” ujarnya.

Sebelum ini, Nurul Izzah pernah dijangkiti Covid-19 pertama kali pada awal Februari lalu.

Beliau yang mengalami simptom ringan biasa (lesu, hidung berair dan sakit otot atau sendi) ketika itu hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah.