Aminuddin sedia lepas jawatan Menteri Besar

Aminuddin (dua dari kiri) ketika berucap dalam majlis kenduri kesyukuran sempena pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, di Sungai Seluang, pada Isnin.
Aminuddin (dua dari kiri) ketika berucap dalam majlis kenduri kesyukuran sempena pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, di Sungai Seluang, pada Isnin.
A
A
A

PADANG SERAI - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bersedia melepaskan jawatannya itu sekiranya dipilih untuk menganggotai kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau tidak akan berkecil hati sekiranya namanya tidak terpilih dan akan terus menyokong kepimpinan Anwar untuk menerajui negara.

Saya serahkan kepada presiden tapi tak semestinya presiden akan bagi saya jawatan itu kerana kita tahu saiz kabinet akan dikecilkan.

"Saya takkan rasa kecil hati dan saya nak negara ini dipimpin diteruskan supaya ia lebih baik...itu sahaja," katanya ketika ditemui dalam majlis kenduri kesyukuran sempena pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri di Sungai Seluang di sini, pada Isnin.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Aminuddin yang mewakili Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson yang disandang Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tiket PKR.

Aminuddin memperoleh 42,013 undi dengan majoriti 23,601 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk P Kalamananthan dengan 18,412 undi dan calon Perikatan Nasional (PN), Rafiei Mustapha dengan 18,235 undi.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada sudah ada calon Menteri Besar yang akan menggantikan tempatnya sekiranya beliau dipilih menjadi menteri nanti, Aminuddin hanya menjawab ada.

"Sesiapa pun boleh jadi Menteri Besar dan sesiapa pun boleh jadi menteri yang penting kejujuran, keikhlasan dan dapat menjalankan amanah dengan baik...itu harapan rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan: