Beri keutamaan penjawat awam, elak lantikan politik: Cuepacs

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap Perdana Menteri serta barisan menteri bakal dilantik kelak memberi keutamaan kepada penjawat awam yang berkebolehan dan kompeten untuk mengisi jawatan utama dalam perkhidmatan awam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, campur tangan politik dalam urusan pelantikan juga harus dielakkan bagi membolehkan mereka yang dilantik nanti benar-benar membantu selain dapat memberi nasihat terbaik kepada jemaah menteri.

"Perkhidmatan awam sendiri ketika ini mempunyai pegawai yang berkelayakan dalam pelbagai bidang dan seharusnya diberi peluang mengikut pengalaman serta kompentensi masing-masing.

"Lantikan daripada luar sudah tentu menyebabkan pembangunan kerjaya dalam perkhidmatan awam akan lebih sempit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, unsur-unsur 'favouritism' juga perlu dielakkan terutama dalam hal lantikan jawatan tertinggi kerana ia boleh menjejaskan operasi perkhidmatan awam sekiranya mereka yang dilantik itu tidak kompeten.

"Pegawai yang dilantik hanya disebabkan 'kegemaran' ahli politik tertentu dibimbangi tidak boleh melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan terutama dalam memberi nasihat terbaik kepada menteri berkenaan," ujarnya.

Jelas beliau, secara dasar Cuepacs tidak mempunyai masalah bagi lantikan politik yang mempunyai kelayakan.

"Bagaimanapun bagi memastikan kelancaran sesuatu jabatan dapat diteruskan sekiranya terjadi peralihan kerajaan, adalah lebih baik lantikan dibuat dalam kalangan anggota penjawat awam sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang dilantik berdasarkan politik akan meletak jawatan atau dipaksa melepaskan jawatan apabila suatu kerajaan itu berubah," jelasnya.

Beliau berkata, perkara itu boleh menjejaskan perkhidmatan kerajaan dan menimbulkan persepsi kurang baik terhadap perkhidmatan kerajaan sedia ada.

"Dalam hal ini keutamaan harus diberikan kepada pegawai-pegawai dalam perkhidmatan awam yang layak daripada segi pengalaman dan kompetensi dalam bidang masing-masing.

"Unsur favouritism dan lantikan politik harus diketepikan kerana ia boleh mengganggu keharmonian dalam perkhidmatan awam itu sendiri," jelas beliau.