Belgium terkedu dikejutkan Maghribi

Pemain Maghribi meraikan kejayaan menewaskan Belgium 2-0 dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Al Thumama pada Ahad. - Foto EPA
Pemain Maghribi meraikan kejayaan menewaskan Belgium 2-0 dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Al Thumama pada Ahad. - Foto EPA
A
A
A

SELEPAS Jerman dan Argentina dikejutkan pasukan bukan pilihan, tiba pula giliran Belgium yang dimalukan Maghribi apabila tewas 0-2 pada aksi Kumpulan F Piala Dunia Qatar 2022 pada Ahad.

Babak pertama dikuasai Belgium yang menghuni ranking kedua dunia, namun dinafikan ketandusan idea untuk menyudahkan peluang yang terhidang dalam aksi yang berlangsung di Stadium Al Thumama.

Maghribi yang sesekali melakukan serangan pantas berpeluang di depan, mujur sepakan percuma Hakim Ziyech yang menerjah gawang pada penghujung babak pertama dibatalkan kerana ofsaid.

Bersambung separuh masa kedua, Maghribi dilihat lebih berbisa menerusi kelincahan Hakim, Achraf Hakimi dan Sofiane Boufal yang mengucar-ngacirkan kubu Belgium, namun mereka ampuh bertahan.

Enggan berputus asa, Maghribi menggandakan serangan dan akhirnya Belgium tidak mampu bertahan lagi apabila dibocori menerusi jaringan Abdelhamid Sabiri pada minit ke-74.

Jaringan itu menyuntik semangat Maghribi yang menduduki ranking ke-22 dunia untuk menambah jaringan pada masa kecederaan menerusi sentuhan Zakaria Aboukhlal.

Sebelum ini, Jerman yang berada di ranking ke-11 dunia dikejutkan dengan kekalahan kepada Jepun 1-2, manakala Argentina dimalukan Arab Saudi juga dengan jaringan sama pada aksi pertama lalu.

Artikel Berkaitan: