BN akan sokong usul undi percaya terhadap Anwar

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi -Foto Bernama
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) akan mengambil pendirian untuk menyokong usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dilaksanakan di Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, langkah itu diambil sebagai menjunjung dan menghormati pelantikan Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Walaupun ada pihak mengatakan ini langkah berisiko Perdana Menteri baharu, namun inilah proses demokrasi yang perlu dilalui dan BN akan terus menyokong penuh sebagai tanda menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong pembentukan kerajaan baharu ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Dalam sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Khamis, Anwar berkata, undi percaya akan menjadi usul pertama yang akan dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan pada 19 Disember depan.

Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, perkara tersebut dibuat untuk memastikan kerajaan pimpinannya mendapat kepercayaan setiap ahli Dewan Rakyat.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam isu pelantikan Perdana Menteri itu.

“Tidak perlu lagi pihak mempertikaikan keputusan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara. Janganlah umpama rumah siap, pahat berbunyi.

“Marilah kita sama-sama menjunjung titah dan menghormati perkenan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan perlembagaan negara. Kita perlu bergerak ke depan dan bersama-sama membina negara ke arah kemakmuran dan kestabilan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: