[VIDEO] PM beri tempoh dua minggu kaji implikasi subsidi bersasar

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan tempoh selama dua minggu kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mengkaji dan melihat implikasi jika subsidi bersasar dilaksanakan melibatkan beberapa keperluan utama rakyat negara ini.

Menurutnya, buat masa ini beberapa subsidi yang dilaksanakan seperti minyak dan tarif elektrik dimanfaatkan oleh semua rakyat termasuk golongan kaya dan industri besar.

Justeru, jawatankuasa berkenaan akan berbincang dengan pihak industri, sektor swasta dan pelabur berminat supaya mereka faham bahawa subsidi yang dilaksanakan kini bertujuan untuk meringankan beban rakyat.

"Saya tiada masalah dengan pemberian subsidi tapi ia harus bersasar. Jika tidak, subsidi minyak umpamanya dimanfaatkan oleh semua rakyat dan golongan kaya.

"Ini juga melibatkan tarif elektrik. Angka yang dibentangkan, manfaat yang diperoleh golongan miskin itu hampir sama dengan golongan kaya, (dengan kos) sekitar RM2.5 bilion. Bagi saya, ia tidak munasabah. Namanya subsidi tapi manfaatnya kepada orang lain.

"Subsidi elektrik ini kita akan teruskan kerana saya tidak mahu ada kebimbangan untuk rakyat. Saya akan berikan mereka (jawatankuasa khas) tempoh selama dua minggu untuk cerakin dan menelusuri seluruh implikasinya.

"Mereka juga akan berbincang dengan sektor swasta dan pelabur berminat supaya pihak berkaitan faham bahawa subsidi itu bertujuan untuk meringankan beban rakyat miskin dan tentunya golongan kaya dan industri tidak harus mengambil manfaat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 di Pejabat Perdana Menteri, di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat itu turut disertai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah serta wakil daripada Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Tambah Anwar, golongan kaya dan pihak industri tidak perlu gusar memandangkan ada kepentingan lain yang akan disediakan umpamanya insentif untuk syarikat supaya tidak menjadi beban kepada mereka yang sudah terbiasa dengan subsidi.

"Saya beri tempoh dua minggu kerana sesuai dengan keputusan yang harus diambil jemaah menteri.

"Saya dahulukan ini kerana saya anggap masalah kos sara hidup ini terlalu menyeksa sebahagian besar rakyat miskin. Sebaik selesai pembentukan kabinet, kita dapat meneliti keseluruhan dasar ini.

"Kementerian-kementerian yang ditugaskan untuk menyediakan kertas akan berbincang dengan semua pihak termasuk Perbendaharaan, Bank Negara, Unit Perancang Ekonomi dan sektor swasta sebelum diangkat untuk pertimbangan jemaah menteri dan saya," jelasnya.