Cadang ahli Parlimen bekas tentera dilantik Menteri Pertahanan

Ismail (dua dari kanan) menyerahkan cek kepada Sahudin selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Kali Kedua PVATTBM di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Ismail (dua dari kanan) menyerahkan cek kepada Sahudin selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Kali Kedua PVATTBM di sebuah hotel di sini pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik ahli Parlimen dari kalangan bekas tentera yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan.

Presidennya, Datuk Ismail Abidin berkata, permintaan itu dibuat bagi memudahkan mereka memperjuangkan dan membela nasib veteran tentera, terutamanya yang tidak mempunyai pencen.

"Untuk jawatan menteri, timbalan menteri (pertahanan), kita cadangan kerajaan supaya melantik pemimpin dalam kalangan mereka yang memahami kedudukan veteran.

"Kalau ada dalam kalangan veteran memenangi (kerusi Parlimen) PRU15, mereka itu wajar dilantik sebagai Menteri atau Timbalan Menteri Pertahanan.

"Selain itu, kita mencadangkan agar kerajaan lantik seorang dalam kalangan veteran tidak berpencen sebagai Ahli Dewan Rakyat (Senator) supaya dapat membawa suara dan masalah dihadapi veteran kepada Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita pada selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Kali Kedua PVATTBM di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Hadir sama Yang Dipertua PVATTBM Pahang, Sahudin Mohamad bersama hampir 50 ahli persatuan berkenaan.

Mesyuarat yang berlangsung kira-kira sejam itu membuat ketetapan menyokong penuh pelantikan pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar sebagai Perdana Menteri.

Pada PRU15, salah seorang veteran tentera yang menjadi calon dan menang dengan majoriti 23,107 undi ialah Mejar Jeneral (B) Khlir Mohd Nor di kerusi Parlimen Ketereh, Kelantan daripada Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Beliau yang menjadi calon buat kali pertama memperoleh 40,542 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Marzuani Ardila Ariffin (17,435 undi) diikuti calon Pakatan Harapan (PH), Rahimi L Muhamud (4,662 undi) dan calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Haneef Ibrahim (223 undi).

Dalam perkembangan lain, Ismail turut meminta kerajaan menyemak semula kadar pencen dan elaun bulanan yang diberikan kepada veteran.

Beliau menjelaskan, kadar pencen dan elaun diberikan tidak mencukupi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kita dapat lihat kebanyakan veteran hidup di bawah (kategori) B40, jadi kita minta elaun sara hidup dinaikkan daripada RM300 sebelum ini kepada RM500 bagi yang menerima elaun bulanan.

“Begitu juga (veteran) yang tidak berpencen, kita minta supaya dibayar elaun bulanan kepada semua veteran yang tidak mendapat pencen.

"Bagi veteran yang berpencen pula, selaraskan kadar pencen. Kita dapati kebanyakan yang berpencen dahulu, pencennya terlalu rendah, ada yang tak sampai RM1,000 sebulan,” jelas beliau panjang lebar.

Sementara itu, Ismail juga meminta kerajaan mempertimbangkan pembinaan atau pembukaan hospital tentera di negeri utara tanah air.

Menurutnya, permintaan itu bagi membolehkan veteran mendapat rawatan cepat.

“Kita dah ada hospital tentera, Hospital Terendak, Melaka; Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur dan kalau boleh buat satu (hospital) di utara, sama ada di Alor Setar atau Sungai Petani, Kedah.

“Ramai ahli kita yang menetap di utara tanah air dan sukar untuk mereka mendapatkan rawatan jika ke hospital biasa, kadang-kadang terpaksa menunggu lebih satu jam untuk mendapatkan rawatan,” ujar beliau.