Keletihan antara punca Selangor FC hilang fokus

Aksi pemain Selangor FC, Herlison Caion De Souza Ferreira meraikan jaringannya pada Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2022 antara JDT bertemu Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Sabtu. - Foto Bernama
Aksi pemain Selangor FC, Herlison Caion De Souza Ferreira meraikan jaringannya pada Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2022 antara JDT bertemu Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A
PEMAIN pertahanan tengah Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar mengakui faktor keletihan antara punca skuad Gergasi Merah hilang fokus pada separuh masa kedua, sekali gus terlepas peluang menjulang Piala Malaysia pada final di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, pada Sabtu.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung sengit dan disaksikan kira-kira 80,000 penonton itu, Selangor di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sharul Nazeem atau lebih mesra disapa Afro berkata, sekiranya Selangor mampu menyempurnakan deretan peluang pada babak pertama perlawanan, besar kemungkinan keputusan berpihak kepada mereka.

"Jurang yang dilihat pada separuh masa pertama dan kedua ialah mungkin kami hilang fokus dan kepenatan semasa babak kedua perlawanan, kami tidak bersatu untuk bertahan atau menyerang pun tidak sekali.

"Saya rasa banyak peluang berpihak kepada kami masa separuh masa pertama dengan boleh jaringkan dua atau tiga gol, jadi saya pun kecewa, tapi ini bola sepak, apa-apa boleh berlaku. Kita terima kekalahan ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam Sabtu.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu berkata, pujian wajar diberikan kepada rakan sepasukannya yang mempamerkan semangat juang tinggi dalam 90 minit perlawanan untuk cuba melakar kemenangan.



Beliau yakin Selangor mampu bangkit daripada kekecewaan semalam dengan corak permainan lebih mantap bagi mengharungi saingan musim hadapan yang lebih mencabar.

Aksi pada Sabtu menyaksikan Selangor terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-45 hasil sepakan penalti Herlison Caion De Souza Ferreira sebelum JDT bangkit meledak dua gol masing-masing menerusi Bergson da Silva pada masa kecederaan babak pertama dan Fernando Forestieri pada minit ke-59.

Kejayaan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mencipta kejayaan treble buat julung kalinya, selain berjaya mengulangi pencapaian memenangi Piala Malaysia pada 2017 dan 2019.

Sementara Selangor terus kempunan merangkul sebarang gelaran juara dalam tempoh tujuh tahun selepas kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2015. - Bernama
Artikel Berkaitan: