Karya wangian jiwa

Fungsi sesebuah karya sastera sebenarnya dapat membangunkan jiwa seseorang pembaca.
Fungsi sesebuah karya sastera sebenarnya dapat membangunkan jiwa seseorang pembaca.
A
A
A

Setelah menelaah karya sastera, apakah iktibar yang kalian peroleh daripadanya? Setelah meneroka beberapa buah novel, apakah anyaman bahasanya dapat menebarkan wangian buat jiwa?

Lantaran fungsi sesebuah karya sastera sebenarnya dapat membangunkan jiwa seseorang pembaca. Sesebuah karya sastera yang tinggi nilainya, apabila perutusan diungkapkan dalam hasil tulisannya dapat memberikan banyak manfaat kepada masyarakat.

Justeru, peri pentingnya seseorang pengarang menuangkan segala elemen kebaikan, kebenaran dan keindahan dalam karyanya. Khususnya dalam membentuk sosok watak dan perwatakan, perihal tentang adab serta budaya, malah yang paling utama garapan bahasa dan gaya bahasa yang indah dapat membentuk keperibadian pembaca serta generasi muda.

Semua elemen itu perlu difikirkan seseorang pengarang tatkala menulis dengan kesungguhan dan kesanggupan demi peradaban anak bangsa.

Lantaran hari ini terdapat kecenderungan pengarang tanpa segan silu menghasilkan novel porno dan lucah untuk hidangan pembaca dalam mengejar keuntungan berganda.

Dengan tajuk yang tidak mencerminkan nilai, mutu bahasa dan sastera tanah air, garapan novel sebegini sangat merosakkan perkembangan sahsiah anak-anak.

Bayangkan pelajar sekolah yang membaca novel yang sarat erotis, apakan jadi pada pertumbuhan jiwa generasi muda? Lantaran novel-novel ini mudah diperoleh kerana dijual di Shopee dengan berleluasa.

Malah, kulit buku (cover) yang mengghairahkan sangat tidak sesuai untuk tatapan pembaca.

Artikel Berkaitan:

Meneliti barisan deretan tajuk novel tersebut sangat membimbangkan lantaran keghairahan anak muda hari ini untuk membacanya. Kisah berantakan perkahwinan, cinta tiga segi antara teruna dara, kisah alam rumah tangga malah sehingga adegan ranjang pun ditampilkan dalam novel tanpa rasa bersalah. Pengarang novel berusaha memperincikan elemen erotis dan berbaur seks dalam banyak bab untuk memancing pembaca.

Perhatikan ransang sari (blurb) pada sebuah novel terbitan tahun 2019 sebagai misalnya:

“Tak ada orang nampak ke you ke sini?” - Safya

“Kalau nampak pun, kenapa? Since i’m the boss, siapa yang berani persoalkan kehadiran I di apartmen ni? - Tengku Zaffryel

Bagi Tengku Zaffryel, dia tak peduli siapa pun Safya. Yang dia tahu, hatinya hanya ada cinta buat si gadis.

“Kita kahwin?” - Zaffryel.

“Zaff, what if I bukan macam yang you sangkakan?” – Safya

“I pun mungkin tak seperti yang you sangka, tapi I cukup yakin dengan you.” – Zaffryel.

Garapan seperti ini sangat tidak sesuai untuk proses pembacaan, malah sangat mengecewakan. Seolah-olah dunia sastera tanah air ketandusan pengarang yang dapat menyuarakan isu yang lebih membugar jiwa.

-SH: Taasub

Hal itu tentu sekali menjadikan anak muda taasub dengan kisah cinta dan asyik dengan bahasa serta gaya bahasa slanga, rojak dan berbaur seks.

Fenomena itu sewajarnya dibendung, dibanteras dan diperhatikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam melahirkan generasi yang beradab dan berperibadi mulia.

Hal itu termaktub sebagaimana dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu: ‘Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

‘Usaha itu adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara’. Oleh itu, para pengarang dan pembaca perlulah bermuhasabah sentiasa.

-SH: Renungan

Sebenarnya banyak isu dan persoalan yang telah dikemukakan pengarang memperlihatkan nilai falsafah untuk renungan pembaca, misalnya perhatikan ransang sari (blurb) novel Gunung Cha (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2020):

“Pendakian Gunung Cha bagai merungkai mimpi dan kembara spiritual Muhammad. Dia terbelit dalam jaringan yang menjelma daripada persahabatan dan tuntutan kerohanian. Masa boleh merubah segalanya, pesan ayah.”

Sementelahan dalam perkembangan persuratan Melayu tanah air telah munculnya sastera Islam yang dapat membangun jiwa pembaca. Salah satunya adalah pendekatan Asmaul Husna dalam karya sastera.

Sebanyak 99 nama Tuhan dapat menebarkan wangian jiwa kepada pengarang untuk berkarya. Misalnya, Zu al-Jalal Waal Ikram (ALLAH Yang Mempunyai Kebesaran), nama Tuhan ini menyuguhkan ilham kebesaran ALLAH SWT sebagai Yang Maha Besar di atas muka bumi.

Bersandarkan sifat ALLAH SWT yang memiliki kebesaran ini wajar dijadikan tunjang dalam pengkaryaan untuk membangunkan isu dan persoalan tentang nilai kebaikan dalam karya. Bukan hanya menempelkan perihal kisah cinta antara lelaki wanita dan berantakan rumah tangga semata-mata.

Sebagai seorang pengarang kreatif, keupayaan manusia sangat terbatas walaupun dapat menghasilkan deretan karya kreatif.

Hal demikian kerana hanya ALLAH SWT yang mempunyai kebesaran pada setiap perjalanan kehidupan manusia. Maka, sebagai seorang hamba yang dicipta-Nya, wajib menjadikan ilham Zu al-Jalal Waal Ikram sebagai pengukuhan diri pengarang untuk menyampaikan kebesaran ALLAH SWT dalam penghasilan karyanya.

Menerusi hasil karya untuk dijadikan hidangan pembaca, wajar dan wajib pengarang menyumbang nilai-nilai luhur yang terdapat dalam agama dengan menjadikan Islam sebagai pasak perjuangan membawa mesej kebenaran, kebaikan serta keindahan kepada anak muda.

Perihal tentang peradaban dan ketamadunan bangsa sewajarnya dijadikan gagasan utama dalam berkarya. Pembentukan keperibadian anak muda dalam melahirkan generasi berilmu dan berwibawa seharusnya menjadi medan perjuangan masyarakat. Khususnya, pengarang Muslim yang memiliki amanah dan tanggungjawab besar tergalas di pundaknya.

Perhatikan ungkapan Hamka sebagai perenungan bersama-sama: “Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya.”

* Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin ialah pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, dan Penyelidik Bersekutu di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Unversiti Putra Malaysia