Piala Malaysia 2022: Selangor, JDT sama kuat pada babak pertama

Selangor JDT sama kuat pada babak pertama. -Foto Sinar Harian Rafeq Redzuan
Selangor JDT sama kuat pada babak pertama. -Foto Sinar Harian Rafeq Redzuan
A
A
A

SELANGOR FC dan Johor Darul Ta'zim sama kuat pada babak pertama perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 selepas seri 1-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada aksi tersebut, pasukan JDT kendalian Hector Bidoglio membariskan kesebelasan utama terbaik dengan trio serangan yang dibarisi Bergson Da Silva, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Fernando Forestieri dijadikan sebagai senjata di bahagian serangan bagi merobek gawang Selangor.

Manakala pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe turut membuat percaturan ampuh dengan meletakkan Heien Htet Aung dan Herlison Caion sebagai penyerang yang ditugaskan untuk menggempur barisan pertahanan JDT.

Selangor bermula garang pada awal permainan apabila hampir membolosi gawang JDT menerusi Mukhairi Ajmal namun rembatan pemain itu sekadar melepasi gawang gol lawan.

Skuad gergasi merah sekali lagi hadir mengancam kubu JDT pada minit ke-10 namun rembatan yang dilakukan Caion sedikit tersasar.

JDT berjaya mendapat peluang keemasan untuk memimpin perlawanan pada minit ke-34 namun rembatan yang dilakukan Leandro Velazquez berjaya dihalang pertahanan Selangor, Sharul Nazeem Zulpakar.

Gol yang dinanti-nantikan Selangor akhirnya hadir pada minit ke-45 appabila Caion menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan pengadil perlawanan selepas Davies didapati bersalah menjatuhkan pemain Brazil itu dalam kotak penalti.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak kekal apabila pemain import JDT, Bergson Da Silva menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama.

Artikel Berkaitan: