Fikir semula tolak kerjasama Kerajaan Perpaduan: G70

Anwar pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Profesor Melayu G70 menggesa parti politik yang menolak cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan agar memikirkan semula pendirian mereka demi keutuhan pentadbiran negara.

Menurut kenyataan bersama itu, usaha ini dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai jalan penyelesaian kepada krisis politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Justeru, G70 menjunjung kasih kepada YDPA atas perkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan memberi kepercayaan kepadanya untuk mengetuai Kerajaan Perpaduan ini.

"Seperti yang kami tegaskan dalam Deklarasi G70 beberapa hari sebelum tarikh pembuangan undi, Anwar adalah tokoh yang terbaik untuk memimpin Malaysia sebagai Perdana Menteri.

"Kami ingin mengulangi keyakinan kami bahawa beliau mempunyai keupayaan untuk menerajui Malaysia dalam suasana negara dan antarabangsa yang penuh cabaran ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan bersama itu daripada Koordinator G70, Profesor Dr Saadiah Mohamad, jurucakap, Datuk Dr Wan Ramli Wan daud dan Penasihat, Datuk Osman Bakar.

Tambah kenyataan itu, bagi membentuk dan mengetuai kabinet perpaduan terdiri daripada berlainan parti politik mewakili pelbagai kaum, agama dan wilayah adalah suatu tugas disifatkan rumit.

"Jadi, kita perlukan seorang tokoh yang bersikap inklusif, berwawasan, adil dan saksama, bijaksana, tegas tetapi bersedia bertolak ansur bila perlu serta yang bersifat terbuka.

Artikel Berkaitan:

"Mengenali Anwar sekian lama, kami yakin bahawa beliau memiliki sifat-sifat tersebut yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia amnya," ujarnya.

Dalam pada itu, G70 menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

"Selamat Maju Jaya dalam melaksanakan tugas baharunya demi Malaysia yang lebih aman, adil, sejahtera dan makmur," ujarnya.