Penduduk Taman Mesra khuatir kemungkinan banjir lebih buruk

Limpahan air dari kawasan pembangunan didakwa meningkatkan lagi paras air sedia ada.
Limpahan air dari kawasan pembangunan didakwa meningkatkan lagi paras air sedia ada.
A
A
A

SHAH ALAM - Penduduk Taman Mesra, di Batu Tiga di sini tidak menolak kemungkinan projek pembinaan berhampiran taman perumahan itu mampu menyebabkan banjir lebih buruk di kawasan berkenaan.

Wakil penduduk, Wan Mohd Zaki Wan Daud, 59, berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu segera campur tangan bagi melihat sendiri kemungkinan itu dan mencari jalan penyelesaiannya.

"Isu sebenarnya adalah projek yang dijalankan berhampiran taman perumahan ini menyebabkan keadaan rumah penduduk lebih rendah malah longkang dibina lebih tinggi dari lantai kediaman.

"Kalau isu ini tidak diatasi, masalah ini akan menyebabkan paras air banjir mungkin mencecah sehingga 20 kaki (kira-kira 6 meter) sekali gus Taman Mesra akan menjadi kolam takungan banjir," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Wan Mohd Zaki berkata, PBT ada menempatkan pam sedut air banjir di kawasan taman perumahan berkenaan namun khuatir ia tidak mampu menampung limpahan air.

Wan Mohd Zaki (kiri) berharap PBT segera campur tangan bagi melihat sendiri kemungkinan banjir buruk dan mencari jalan penyelesaiannya.
Wan Mohd Zaki (kiri) berharap PBT segera campur tangan bagi melihat sendiri kemungkinan banjir buruk dan mencari jalan penyelesaiannya.

Menurutnya, limpahan air dari kawasan pembangunan akan meningkatkan lagi paras air sedia ada ketika taman perumahan sudah terkepung dengan benteng dan longkang konkrit yang dibina.

"Situasi ini akan menyebabkan Taman Mesra menjadi kolam takungan, dahulu air surut selepas dua tiga hari tetapi kali ini kita jangka air mungkin surut seminggu selepas banjir berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Indra Denesh, 42 berkata, PBT atau pemaju bertanggungjawab perlu mencari jalan penyelesaian terbaik agar keluhan penduduk dapat didengari seterusnya dapat diatasi.

"Kami tidak mahu banjir buruk pada tahun lalu berulang dan berharap penyelesaian dapat dicapai secara diplomatik," katanya.

Rakannya, James Ambrose, 52, pula berkata, penyelesaian dan kata putus perlu dicapai segera kerana penduduk tidak mahu terus menanggung kerugian akibat bencana banjir yang melanda.

"Saya juga bersetuju sekiranya kerajaan negeri Selangor turut campur tangan untuk mengatasi masalah yang berlaku di Taman Mesra kerana soal banjir turut melibatkan isu nyawa," katanya.

Kira-kira 100 penduduk tinggal di Taman Mesra, Batu Tiga di sini.
Kira-kira 100 penduduk tinggal di Taman Mesra, Batu Tiga di sini.

Sementara itu, Sunilnair, 51, yang sudah menetap di Taman Mesra kira-kira 26 tahun berkata, masalah banjir bukan baharu namun dijangka lebih buruk sekiranya perancangan pembangunan tidak dibuat dengan teliti.

"Penduduk mahu tahu limpahan air dari kawasan pembangunan mengalir keluar ke mana, mengenai pam air banjir adakah ia mampu mengatasi masalah banjir yang berlaku di kawasan perumahan ini.

"Kami tidak tahu proses pengaliran air di sini, kalau semua air (hujan) memasuki taman ini maka habislah kami, saya hari-hari tertekan dengan keadaan ini dan sudah 26 tahun asyik tanggung kerugian," katanya.