PH Johor mohon hadiri mesyuarat JTPD

Jimmy
Jimmy
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor memohon pertimbangan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH dapat menyertai mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) yang diadakan setiap bulan.

Menurut Naib Presiden PKR Johor, Jimmy Puah Wee See, tujuan pihaknya membuat permohonan berkenaan adalah bagi menyelaraskan pelbagai isu yang timbul di sekitar negeri dalam mesyuarat berkenaan.

"Sebelum ini hanya YB (Ahli Yang Berhormat) daripada kerajaan yang dibenarkan menghadiri mesyuarat ini.

"Sekarang, kita (PH dan BN) dah jadi rakan kongsi strategik dalam kerajaan perpaduan dan oleh itu saya sangat berharap agar kami daripada PH dibenarkan masuk ke mesyuarat ini.

"PH Johor juga akan menulis surat kepada Menteri Besar dalam masa terdekat berhubung hasrat ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum itu, Jimmy yang juga Ahli Parlimen Tebrau setelah memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), turut meluangkan masa bersama orang ramai di sebuah restoran di sini sempena program Hari Bertemu Pengundi atas kemenangan berkenaan.

Jimmy meluangkan masa bertemu orang ramai pada Sabtu.
Jimmy meluangkan masa bertemu orang ramai pada Sabtu.

Pada program berkenaan, Jimmy turut memberikan penerangan berhubung kerajaan perpaduan yang melibatkan PH dan Barisan Nasional (BN) kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"Penjelasan ini penting agar orang ramai faham mengenai kerajaan perpaduan ini yang secara keseluruhannya adalah untuk menjamin kestabilan dan kemakmuran negara," katanya.