Ringgit dijangka cecah semula paras 4.46 minggu depan

Ringgit dijangka menyaksikan aliran mengukuh dan mencecah semula paras 4.46 berbanding dolar AS minggu depan. - Gambar hiasan
Ringgit dijangka menyaksikan aliran mengukuh dan mencecah semula paras 4.46 berbanding dolar AS minggu depan. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka menyaksikan aliran mengukuh dan mencecah semula paras 4.46 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, mengulangi paras diraih pada Ogos lepas.

Prestasi tersebut berikutan sentimen positif pasaran yang terus dipacu oleh jangkaan kenaikan kadar faedah selain rasa optimis terhadap kerajaan baharu susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, ini juga berkait rapat dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menumpukan aspek kestabilan dan ekonomi - pandangan yang hanya menguntungkan ringgit.

"Pasaran misalnya melihat pemimpin Pakatan Harapan itu sebagai mesra pasaran.

"Dewan Rakyat juga dijangka mengutamakan untuk meluluskan perbelanjaan operasi jangka pendek kerajaan dengan pembentangan Bajet 2023 dalam tempoh sebulan ini,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata, minggu depan akan turut sarat dengan program membabitkan penceramah Rizab Persekutuan AS (Fed), termasuk ucapan Presiden Fed New York John Williams dan Fed St Louis James Bullard pada 28 November 2022.

Pengerusi Fed Jerome Powell pula akan berkongsi mengenai ekonomi dan pasaran tenaga kerja pada 30 November 2022.

Malah, unjuran kedua bagi keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga AS akan dikeluarkan pada hari sama berdasarkan data yang lebih lengkap.

Artikel Berkaitan:

"Data itu kekal menjurus kepada sokongan terhadap kenaikan kadar faedah yang hanya memaparkan langkah Fed untuk membendung inflasi. Ini berkemungkinan mengekang peningkatan ringgit pada awal minggu depan,” katanya.

Ringgit memulakan minggu ini dengan sentimen kurang memberangsangkan apabila Parlimen tergantung selepas PRU15 pada Sabtu lepas yang turut menjejaskan keyakinan pelabur.

Pasaran bagaimanapun mencatat perubahan ketara serta meningkat 1.8 peratus dan mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua bulan berbanding dolar AS pada Khamis lepas, berikutan berakhirnya kemelut politik dengan pelantikan Anwar menerajui kerajaan baharu.

Ringgit muncul sebagai mata wang mencatat prestasi terbaik di Asia pada Khamis, juga didorong oleh harapan bahawa tekanan harga sudah mulai reda manakala minit mesyuarat Fed membayangkan kadar faedah AS akan lebih perlahan tidak lama lagi.

Bagi minggu ke minggu, ringgit meningkat ketara berbanding dolar AS kepada 4.4795/4890 pada Jumaat daripada 4.5490/5565 pada Khamis minggu lepas.

Unit tempatan itu juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2573/2645 daripada 3.3091/3150 pada Khamis minggu lepas, naik berbanding yen Jepun kepada 3.2118/2188 daripada 3.2581/2637 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6551/6650 daripada 4.7146/7224 sebelumnya.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.4094/4209 daripada 5.4069/4159, sebelum ini. - Bernama