Beri ruang kepada Anwar tadbir Malaysia

Dr Hafidzah Mustakim
Dr Hafidzah Mustakim
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat perlu memberi ruang kepada kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mentadbir negara ke arah lebih baik selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis.

Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, kenaikan nilai Ringgit Malaysia (RM) pada Khamis turut menjadi petanda ke arah pemulihan ekonomi negara yang lebih baik selepas ini.

"Pada masa yang sama saya lihat pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri menambahkan lagi keyakinan kepada pelabur asing untuk kembali semula ke Malaysia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, prestasi itu secara tidak langsung memberi isyarat pemulihan ekonomi negara akan menjadi lebih pantas selepas ini.

Ujarnya, menambahkan lagi keyakinan apabila beberapa pemimpin dunia seperti Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan turut menghubungi Anwar bagi mengucapkan tahniah di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri.

Dr Hafidzah berkata, beliau berharap PH sebagai induk Kerajaan Perpaduan bersama BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa lagi parti lain perlu didokong dengan sebaik mungkin.

Tambahnya, hal ini bagi memastikan Kerajaan Perpaduan dapat menjalankan tugas dengan baik dalam menggembleng semua pihak tanpa sebarang diskriminasi.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Pengerusi PH Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel Berkaitan:

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini pada jam 5.06 petang.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara pagi Khamis bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).