Pas perlu pegang jawatan penting kabinet kerajaan perpaduan

Fariz Irwan
Fariz Irwan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas perlu mengetengahkan mereka yang berkaliber bagi memegang jawatan penting dalam kabinet jika parti itu memutuskan untuk menyertai kerajaan perpaduan.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Lepasan Pelajar Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM Care) Terengganu, Datuk Fariz Irwan Mustafa berkata, ia berdasarkan komposisi besar yang dimenangi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Jelas beliau, peranan dimainkan pemimpin Pas dalam kerajaan penting bagi memastikan ketelusan dan kelancaran pentadbiran terutama bagi mendepani cabaran ekonomi pasca Covid-19.

"Pada pandangan peribadi saya, Pas tidak ketandusan pemimpin-pemimpin berkarisma. Pas juga sudah tidak boleh lagi berpaksi terhadap pegangan tawaduk dan zuhud dengan menolak jawatan-jawatan penting (dalam kerajaan).

"Ahli Parlimen Pas merupakan komposisi terbesar yang dipilih rakyat sehingga berjaya membentuk blok pada PRU15 lalu, jadi Pas perlu 'lead the wave', 'lead' negara," katanya ketika dihubungi, disini, pada Jumaat.

Fariz Irwan yang juga pengamal undang-undang berkata, sebagai parti yang memenangi jumlah kerusi terbesar dalam PRU15, Pas perlu mengisi portfolio strategik dalam kerajaan pusat terutama Kementerian Kewangan (MOF) dan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Jelasnya lagi, persepsi masyarakat terhadap Pas yang disifatkan hanya mampu menjaga hal ehwal agama perlu dihapuskan.

"Pas perlu mendasari dan mengetuai dengan memegang portfolio penting dalam Kerajaan Pusat. Pas bukan menang 18 kerusi, bukan 23, tetapi 49 kerusi sekali gus membentuk blok terbesar dalam kalangan parti yang menang pada PRU lalu.

Artikel Berkaitan:

"Pas juga mempunyai ramai pemimpin-pemimpin yang boleh ditonjolkan. Jangan hanya fikir apabila BN atau Pakatan Harapan (PH) yang mahu memerintah, kita ketandusan pemimpin. Hakikatnya, kita tidak kurang hebat jika dibandingan dengan parti lain, " kata beliau.

Menurut Fariz Irwan, jawatan-jawatan lain juga boleh diberikan kepada BN dan Bersatu walaupun rakyat sudah melihat hagemoni atau pengaruh UMNO ketika ini telah beralih kepada Pas.

Dalam pada itu, Fariz Irwan berkata, jika kerajaan perpaduan akan direalisasikan, jawatan menteri kanan perlu dihapuskan sebaliknya mewujudkan jawatan Timbalan Perdana 1 (TPM1), TPM 2 dan TPM 3.

"Apa yang wajar dipertimbangkan dalam kerajaan perpaduan ialah mewujudkan jawatan TPM1 dari negeri Pantai Barat, TPM 2 (Pantai Timur) dan TPM 3 dari Sabah dan Sarawak kerana ia lebih adil dan menyeluruh.

"Salah satu formulasi pembentukan kerajaan perpaduan ialah perlu mengambil kira semua parti bukan hanya tertumpu kepada pembangkang sahaja, "ujarnya.

Pas dalam kenyataan pada Jumaat berkata, parti itu bersama komponen Perikatan Nasional (PN) akan membincangkan tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan perpaduan dalam tempoh terdekat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu juga akan meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya pengundi sebelum memuktamatkan sebarang keputusan.

Sebelum ini media melaporkan, Anwar mengalu-alukan penyertaan PN dan parti lain untuk menyertai kerajaan perpaduan selain bersedia menerima penyertaan mereka bagi menyatukan negara.