1MDB: Saman Najib terhadap Tommy Thomas dibatalkan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, membenarkan permohonan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk membatalkan saman oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan salah laku dalam jawatan awam.

Hakim Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian selepas mendapati saman yang difailkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu adalah remeh, menyusahkan dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Menurutnya, Tommy ketika itu merupakan peguam negara yang menjalankan kuasanya dengan bebas berdasarkan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan bukannya seorang peguam politik.

Maka katanya, beliau mempunyai kuasa budi bicara yang luas untuk menjalankan kes pendakwaan.

"Tindakan undang-undang yang mencabar kuasa peguam negara, tidak boleh dibicarakan di mahkamah dan beliau mempunyai imuniti daripada disaman," katanya.

Pada 22 Oktober 2021, Najib memfailkan saman itu bagi menuntut ganti rugi RM1.9 juta kerana mendakwa Thomas dan kerajaan menyalahgunakan kuasa dengan mengemukakan pendakwaan terhadapnya dalam beberapa kes termasuk kesalahan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 18 November 2021, Thomas dan kerajaan menfailkan notis permohonan untuk membatalkan saman oleh Najib, dengan alasan jika diteruskan dan didengar akan menyebabkan kes jenayah terhadap Najib yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi akan tergendala.

Kedua-dua defendan itu berkata, saman berkenaan juga adalah tindakan serangan sampingan oleh Najib bagi menghalang pendakwaan jenayah terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pada 8 September lalu, Najib menarik balik saman berkenaan terhadap kerajaan.

Susulan itu, Tommy menjadi defendan tunggal dalam kes berkenaan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan saman itu, Najib menyatakan, pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang sudah dirancang lebih awal oleh Thomas selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.