Parlimen bersidang 19 Disember depan

No Image Caption
A
A
A

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan sidang Dewan Rakyat bermula pada 19 Disember ini.

Menurutnya, selain usul kerajaan, pihaknya akan mengemukakan usul percaya di Parlimen bagi menepis segala dakwaan terhadap keabsahan pimpinannya.

"Usul pertama adalah usul undi percaya di Parlimen dan bagi saya tidak timbul soal keabsahan yang ada," katanya menerusi sidang akhbar pertama sebagai Perdana Menteri pada Khamis.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesepuluh di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara sekitar jam 5.06 petang pada Khamis..

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu, disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam pada itu, Presiden PKR itu turut menegaskan bahawa beliau akan memberi keutamaan dari segi tata kelolaan pentadbiran.

Beliau berkata, aspek tersebut merupakan salah satu syarat yang ditetapkan oleh PH dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Di bawah pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri, saya tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan rasuah dan penyelewengan.

"Ini bermakna tata kelola harus dikemas kini. Tidak hanya kecenderungan mengungkit dan membongkar kisah lama, tetapi mengizinkan kebobrokan yang baharu," ujarnya.

Artikel Berkaitan: