Presiden Indonesia ketua negara pertama ucap tahniah: Anwar

Anwar ketika menjawab panggilan telefon daripada Joko Widodo
Anwar ketika menjawab panggilan telefon daripada Joko Widodo
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri yang baharu dilantik, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo kerana menjadi ketua negara pertama yang menghubunginya bagi menyampaikan ucapan tahniah.

Jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, ia merupakan satu penghargaan dan memberi makna yang cukup besar baginya.

"Terima kasih Presiden Indonesia, Bapak Joko Widodo kerana menjadi kepala negara pertama yang menghubungi saya mengucapkan tahniah.

"Saya tegaskan Indonesia merupakan sahabat sejati Malaysia dan saya mengharapkan hubungan dagang dan bisnis, investasi, budaya dan isu pekerja dapat dipertingkatkan. Persahabatan kedua-dua semestinya diperkukuh," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Ahli Parlimen Tambun itu selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada jam 5 petang Khamis.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pelantikan tersebut berikutan perkenan Seri Paduka Baginda selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada sebelah pagi hari yang sama.

Anwar dipercayai akan menerajui kerajaan Persekutuan baharu menggabungkan dua parti terbesar iaitu PH dan BN dengan majoriti kerusi Parlimen iaitu 112.

Artikel Berkaitan:

Kemelut penubuhan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri bermula apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu menyaksikan tidak ada gabungan parti mendapat majoriti mudah.

Pada PRU15, PH memenangi 82 kerusi Parlimen, diikuti Perikatan Nasional (73 kerusi), BN (30 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (22 kerusi), Gabungan Rakyat Sabah (enam kerusi) dan calon Bebas dua kerusi.