Sila log masuk terlebih dahulu.

#RasuahBusters gesa lantikan menteri penuhi lima kriteria

No Image Caption
A
A
A

INGAT janji kalian! #RasuahBusters merakamkan tahniah atas penubuhan kerajaan baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperolehi mandat untuk mentadbir negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Ini adalah masa penting untuk manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan. Untuk itu, hanya barisan pasukan menteri-menteri yang teguh dan berwibawa berhak dilantik di kedudukan berkenaan.

Demi rakyat, dan jika anda benar-benar ikhlas, #RasuahBusters menggesa untuk kriteria berikut dipenuhi dalam lantikan Menteri-Menteri Kabinet Malaysia:

Berkemampuan

Menteri yang dipilih harus mempunyai keupayaan, kemahiran dan pengetahuan tentang kementerian yang akan diterajui.

Rekod pencapaian

Menteri yang dipilih mempunyai sejarah dan rekod pencapaian yang baik dalam bidang berkaitan dan mempunyai kelayakan yang sesuai dengan peranan kementerian.

Mengutamakan agenda rakyat

Artikel Berkaitan:

Menjadikan isu rakyat antaranya ekonomi, peluang pekerjaan, kesihatan, pendidikan dan sara hidup sebagai keutamaan dalam pentadbiran.

Berintegriti dan jujur

Lantikan adalah dengan syarat bahawa menteri-menteri akan memastikan ketelusan pentadbiran dan menghapuskan ketirisan.

Isytihar harta

Menteri-menteri harus mengisytiharkan aset mereka dan ahli keluarga sebagai langkah mencegah konflik kepentingan, pemilikan tidak wajar dan meningkatkan integriti.

Sekiranya tiada dalam kalangan ahli dewan yang memenuhi kriteria tersebut, maka #RasuahBusters menggesa agar Perdana Menteri bersedia melantik daripada kalangan pakar dan profesional yang tidak terdiri daripada wakil rakyat yang dipilih bagi menunaikan tanggungjawab berkenaan.

Membawa gerakan #NilaiMoralKarakterBangsa daripada rakyat kepada rakyat, #RasuahBusters bersama rakan-rakan gabungannya akan terus berperanan memastikan rekod prestasi pentadbiran negara ini dipantau dalam tempoh 30 hari, 60 hari, 100 hari dan seterusnya agar Malaysia benar-benar kembali pulih dan integriti menjadi asas kepada kestabilan sebuah #MalaysiaTanpaRasuah.

Oleh:

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub bersama Pasukan Teras dan 524 rakan gabungan Rasuah Busters