Pas tunai janji tumbang 20 ekor lembu di Tumpat

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan akan mengadakan jamuan rakyat di Parlimen Tumpat awal Disember ini dengan menumbangkan 20 ekor lembu susulan kemenangan Pas di Parlimen itu dengan majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diberikan lima ekor lembu untuk jamuan berkenaan.

Ini memang janji saya dan saya kotakan, namun paling utama bertujuan menzahirkan kesyukuran, menghargai penat lelah petugas-petugas parti juga sebagai ucapan terima kasih kepada sokongan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian katanya ditemui pemberita selepas Persidangan Kali Ke-3 (Belanjawan) Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darul Naim di sini, pada Khamis.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, kesemua 20 ekor lembu berkenaan ditaja sebaik Pas diumumkan memenangi kerusi yang sebelumnya disandang oleh Datuk Che Abdullah Mat Nawi pada PRU lalu.

“Ramai yang menaja sejurus tahu menang, ada menelefon saya nak bagi seekor dan ada yang beri dua ekor lembu.

“Ada juga sumbangkan duit dan dicampur-campur semua, Alhamdulillah cukup 20 ekor,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Pas yang menyapu bersih 13 lagi kerusi Parlimen di negeri ini dijangka turut mengadakan kenduri sama di tempat masing-masing namun jumlah lembu tidak diketahui.

Mohd Amar sempat berseloroh akan terbeban sekiranya jumlah lembu dikira mengikut majoriti kerusi yang dimenangi Pas pada PRU15.

“Misalnya Parlimen Tanah Merah paling tinggi dan luar biasa dengan lebih 40,000 majoriti undi, takkan nak sembelih 40 ekor lembu.

“Terpulanglah di Parlimen masing-masing,” katanya.

Pada PRU15, Datuk Mumtaz Md Nawi dari Pas memenangi kerusi Parlimen Tumpat dengan majoriti 34,793 undi, menewaskan empat pencabarnya daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan Warisan.

Pada PRU15 itu, Mumtaz yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Demit itu menewaskan lima pencabarnya iaitu Che Abdullah yang memperoleh undi 30,633 (Barisan Nasional); Che Mohd Asemari Che Ali (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia) 593, Khairul Azuan Kamarrudin (Warisan) 245 dan Wan Mohd Johari Wan Omar (PH) 7,762.