Anwar PM pertama dari Perak

Mujahid, Mohamad Hairul Amir
Mujahid, Mohamad Hairul Amir
A
A
A

IPOH - Rakyat Perak berbangga apabila Perdana Menteri ke-10 yang dilantik merupakan Ahli Parlimen dari negeri ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pelantikan tersebut memberikan harapan segar dan baharu kepada seluruh rakyat Malaysia yang inginkan sebuah kerajaan kukuh serta stabil.

"Bagi pihak PH Perak, saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baharu sahaja diumumkan oleh pihak istana sebagai Perdana Menteri ke-10.

"Pastinya warga Perak turut berbangga memiliki Perdana Menteri ke-10 dari Perak Darul Ridzuan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagi Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Hairul Amir Sabri menyifatkan pelantikan itu merupakan sesuatu yang amat dinantikan oleh rakyat terutama di Perak.

Menurutnya, memandangkan Anwar merupakan Ahli Parlimen Tambun, ia sesuatu sejarah yang dicatatkan bagi negeri Perak.

"Sudah tentu kami akan memberikan kerjasama yang amat baik kepada Datuk Seri Anwar kerana selain Presiden parti, beliau merupakan ahli Parlimen dari Perak.

"Kami akar umbi akan memberikan sokongan penuh dan menjaga integriti demi menjaga nama baik kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anwar diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Untuk rekod, tiada ahli Parlimen yang pernah dilantik sebagai perdana menteri dari Perak sebaliknya hanya Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang pernah dilantik jawatan berkenaan.