Henti desak Ahmad Zahid letak jawatan

Ramalan (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Menara Dato' Onn, WTCKL pada Khamis.
Ramalan (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Menara Dato' Onn, WTCKL pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Lebih 100 kumpulan penyokong BN mendesak kumpulan pemimpin yang anti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhenti daripada mendesak Presiden UMNO itu meletakkan jawatan.

Jurucakap kumpulan itu, Datuk Dr Ramalan Yunus mendakwa, mereka yang mendesak Pengerusi BN itu meletak jawatan hanya datang daripada kumpulan kecil iaitu daripada kluster menteri.

Katanya, gesaan itu dilakukan kerana proses politik sudah selesai apabila tiada satu pun gabungan parti politik berjaya membentuk kerajaan walaupun dengan majorii mudah.

"Sekarang proses politik itu telah beralih kepada proses pembentukan kerajaan yang turut melibatkan Istana Negara.

"Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah mencadangkan agar diwujudkan kerajaan perpaduan dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyokong cadangan Seri Paduka Baginda," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.

Kumpulan penyokong berkenaan turut berhimpun secara aman kira-kira jam 12 tengah hari sambil memegang kain rentang meminta Ahmad Zahid tidak berundur.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang bukan diterajui Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Secara tidak langsung, ia bermaksud MKT UMNO memilih menyokong Perdana Menteri dari Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ramalan turut meminta semua rakyat Malaysia bertenang dan menyokong titah Al-Sultan Abdullah untuk pembentukan kerajaan perpaduan.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya mengalu-alukan cadangan tersebut berpandukan prinsip Rukun Negara yang kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, bukan kepada parti-parti politik.

"Jadi bila Yang di-Pertuan Agong berpandangan sepatutnya kerajaan perpaduan ditubuhkan untuk selesaikan kebuntuan pembentukan kerajaan baharu, seluruh rakyat kena bersatu untuk menyokong," tegasnya.