Belgium berhak menang

Batshuayi peledak gol tunggal Belgium ketika menjinakkan Kanada 1-0 dalam perlawanan Kumpulan F Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Ahmad bin Ali Stadium, Doha. - Foto EPA
Batshuayi peledak gol tunggal Belgium ketika menjinakkan Kanada 1-0 dalam perlawanan Kumpulan F Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Ahmad bin Ali Stadium, Doha. - Foto EPA
A
A
A

BELGIUM berhak menang ke atas Kanada walaupun pasukan kelompok tiga terbaik Piala Dunia Rusia 2018 tersebut tampil dengan prestasi teknikal paling buruk sepanjang tempoh enam tahun.

Itu reaksi pengendali Belgium, Roberto Martinez, selepas menyaksikan para pemainnya dipaksa berhempas pulas sebelum dapat menjinakkan Kanada, 1-0 hasil jaringan minit ke-44 peledak kelab liga Turki, Fenerbahce, Michy Batshuayi.

"Adakah secara teknikalnya prestasi dipamerkan Belgium merupakan yang terburuk? Ya. Perlawanan terburuk? Tidak, kerana ia adalah kemenangan di Piala Dunia. Kami perlu menunjukkan sisi berbeza dalam permainan dan perlu bertahan dengan sangat baik.

"Kami juga mengambil gol apabila menterjemahkan peluang yang sangat baik. Namun anda perlu memberi penghormatan sepenuhnya kepada prestasi Kanada.

"Apa yang dilakukan Belgium ialah kami tidak menyempurnakan dengan baik apa yang sepatutnya dilakukan, manakala Kanada melakukan dengan baik apa yang sepatutnya pasukan tersebut lakukan. Tetapi kami berhak kemenangan," kata Martinez.

Tiga mata diperolehi Belgium dalam perlawanan Kumpulan F Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Ahmed bin Ali, Ar-Rayyan itu menyaksikan anak buah Martinez memimpin kumpulan dengan tiga mata, diikuti Croatia (satu mata), Maghribi (satu mata) dan Kanada tiada mata.

Pada masa sama, Martinez mengakui masih terdapat ruang penambahbaikan besar perlu dilakukan Belgium sekiranya berhajat mara lebih jauh berbanding kelompok empat terakhir di Rusia 2018 empat tahun lalu.

"Kami perlu mengkritik diri sendiri seterusnya memperbaiki diri selepas ini. Tetapi lebih baik melakukannya apabila anda meraih tiga mata, terutamanya selepas melihat apa yang berlaku kepada Argentina dan Jerman," kata Martinez.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, tonggak tengah, Kevin De Bruyne yang merupakan pemain terbaik perlawanan mengakui tidak berpuas hati dengan corak permainan pasukannya.

"Saya tidak fikir saya dan rakan sepasukan bermain menampilkan permainan yang hebat. Saya juga tidak tahu mengapa saya mendapat anugerah pemain terbaik perlawanan. Mungkin kerana disebabkan nama saya...

Kami bermula buruk, dan momentum adalah berdepan Kanada. Kami tidak menemui jalan untuk menekan lawan. Kami juga tidak membina permainan dengan baik semasa terdapat banyak peluang. Sejujurnya ia tidak cukup baik.

"Namun kami tahu apa yang perlu diubah segera. Ya, ketepatannya kurang, begitu juga dengan saya. Pada satu sudut para pemain ada semangat juang, itu adalah syarat minimum. Perlawanan seperti ini adalah kejuaraan utama yang sentiasa istimewa. Kami menyukarkan diri sendiri seterusnya menyebabkan tekanan dalam pasukan," katanya.

Belgium dijadualkan berdepan Maghribi dalam perlawanan kedua Kumpulan F di Stadium Al Thumama, pada Ahad ini.