STAR sokong kerajaan perpaduan

Jeffrey Kitingan - Foto fail Bernama
Jeffrey Kitingan - Foto fail Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyatakan keterbukaannya untuk menyokong pembentukan kerajaan perpaduan demi kestabilan negara.

Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan percaya ini adalah jalan penyelesaian yang terbaik bagi memastikan negara bergerak ke hadapan.

"Memandangkan kebuntuan politik melanda negara dan mempertimbangkan saranan Agong (Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah) untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, ini mungkin satu penyelesaian yang terbaik buat masa ini.

"Bagi kami di STAR, kami terbuka untuk menyokong kerajaan perpaduan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menegaskan bagi memastikan kerajaan perpaduan itu berfungsi dengan baik, ia mesti inklusif dan merangkumi kerajaan Sabah dan Sarawak yang dipilih.

Katanya, mekanisme kerajaan perpaduan mesti diwujudkan dengan jelas supaya ia berfungsi dengan berkesan.

Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan negara adalah perkara penting ketika ini.

"Negara harus bergerak maju ke hadapan. Untuk itu kita mesti mempunyai kestabilan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, pendirian STAR itu akan disampaikan kepada rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang lain.