SRN dan KRN perkukuh semangat kebersamaan anak muda

Sebilangan ahli Kelab Rukun Negara yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah.
Sebilangan ahli Kelab Rukun Negara yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah.
A
A
A

Menyedari hakikat pentingnya peranan yang dimainkan oleh golongan pelajar dan mahasiswa, anak-anak muda Malaysia perlu memahami tanggungjawab mereka sebagai seorang warganegara.

Selain menitikberatkan perihal pembangunan sahsiah, komuniti dan sosioekonomi, anak-anak muda juga perlu dididik untuk mendalami dan menghayati erti sebenar perpaduan agar terus hidup dalam suasana damai dan harmoni di kalangan rakyat berbilang kaum.

Iltizam untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum dalam kalangan anak muda ini turut dibahaskan di dalam 6th Forum of the United Nations Alliance of Civilization 2014 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam forum yang diadakan di Bali, Indonesia pada 28 Ogos 2014, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon menggesa generasi baharu menolak sebarang bentuk prejudis, sifat perkauman dan stereotaip terhadap mana-mana kaum agar dunia dibebaskan daripada sebarang bentuk diskriminasi.

Di Malaysia, kita percaya perpaduan antara kaum dapat terus dipertingkatkan dengan menjadikan Rukun Negara sebagai panduan ulung untuk diguna pakai oleh seluruh rakyat. Ia asas kepada perpaduan rakyat dalam usaha membentuk sebuah negara bangsa yang tersohor di mata dunia.

Menurut mantan Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Dr. Mohamed Salleh Abas yang juga salah seorang daripada tokoh yang membantu untuk mewujudkan Falsafah Kebangsaan Negara pada tahun 1970, Rukun Negara sepatutnya menjadi roh dan jiwa yang membentuk kesedaran rakyat untuk mengekalkan keharmonian dalam kalangan pelbagai etnik di Malaysia.

Penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara ini adalah satu manifestasi semangat dan kesetiaan seorang rakyat kepada negara yang dicintainya. Kepatuhan terhadap setiap prinsip dan elemen yang ingin diketengahkan oleh para penggubal falsafah kebangsaan ini dapat dizahirkan dengan setiap tutur kata, pemikiran dan perbuatan kita semua.

Diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang Di-Pertuan Agong Keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, lima prinsip Rukun Negara iaitu, Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja & Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan, harus tersemat di dalam sanubari setiap rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Mahasiswa merupakan aset yang sangat bernilai bagi negara.
Mahasiswa merupakan aset yang sangat bernilai bagi negara.

Salah satu usaha untuk menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan pelajar dan mahasiswa, telah menubuhkan Kelab Rukun Negara (KRN) di sekolah-sekolah dan Sekretariat Rukun Negara (SRN) di Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyatupadukan seluruh rakyat.

Diilhamkan pada tahun 2000 oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) KRN ditubuhkan sebagai elemen pendidikan perpaduan untuk pelajar sekolah supaya didedahkan dengan lima prinsip rukun negara bagi menjamin perpaduan dan kemakmuran Malaysia dapat terus dikekalkan. Pada 11 Ogos 2004, KRN diperluaskan di sekolah-sekolah dan Institut Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta.

Pada 30 Ogos 2008 di Universiti Utara Malaysia, nama Sekretariat Rukun Negara (SRN) dicadangkan sebagai pertubuhan di peringkat IPT yang menjadi kesinambungan di peringkat sekolah.

Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi akan terus memainkan peranan dalam memastikan penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara diperkukuh melalui pembangunan modul-modul dan program yang lebih efektif.

“Program-program yang dijalankan oleh SRN dapat membentuk generasi mahasiswa yang mempunyai literasi tentang Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, dapat meningkatkan ciri-ciri kepimpinan dalam diri mahasiswa, di samping meningkatkan interaksi sosial mereka melalui kerjasama komuniti, serta melahirkan generasi mahasiswa yang bertoleransi, memahami dan menerima kepelbagaian etnik, budaya, bahasa dan agama,” ujar Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Objektif SRN

Di awal penubuhannya, SRN diperkasakan dengan empat objektif utama menerusi elemen yang terdapat di dalam Rukun Negara bagi memacu perpaduan dan keakraban sesama rakyat.

Pertama, SRN menjadi mekanisme kepada kerajaan di peringkat IPT dalam memperkaya pengetahuan, pemahaman, penghayatan, penilaian dan pengamalan mahasiswa terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara.

Kedua, bertindak sebagai wadah berkesan untuk menyemai dan memperkukuhkan semangat patriotisme di kalangan mahasiswa tanpa mengira latar belakang ekonomi, bangsa dan agama.

Ketiga, meningkatkan kesedaran mahasiswa untuk mempraktikkan prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian ke arah melahirkan masyarakat jati diri, setia, bersatu padu, berwawasan, bermaruah, bersikap terbuka dan beretika sejajar dengan wawasan negara.

Keempat, mewujudkan iltizam negara bangsa yang mempunyai identiti tersendiri dan mampu bersaing dengan negara-negara lain di seluruh dunia.

6,843 KRN di seluruh negara:

- 3,449 sekolah kebangsaan

- 2,431 sekolah menengah

- 673 sekolah jenis kebangsaan (Cina)

- 290 sekolah jenis kebangsaan (India)

182 SRN di seluruh negara:

- 26 sekretariat di IPTA,

- 34 sekretariat IPTS,

- 27 sekretariat politeknik,

- 17 sekretariat kolej matrikulasi,

- 51 sekretariat kolej komuniti

- 27 sekretariat Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM)

Baru-baru ini, Pertandingan #Dari Lensa Uniti sempena Program Semarak UNITI Keluarga Malaysia Bulan Kebangsaan anjuran SRN Negeri Terengganu, mendapat sambutan menggalakkan.

Salah satu program SRN # Dari Lensa UNITI di Terengganu.
Salah satu program SRN # Dari Lensa UNITI di Terengganu.

Program ini dilihat dapat memupuk semangat cintakan negara dengan menzahirkannya dalam bentuk perkongsian gambar bertemakan kemerdekaan di laman sosial pelajar IPT.

Program lain turut dianjurkan:

- Pertandingan Deklamasi Sajak Patriotik

- UNITI Fun Run

- Pertandingan Arca Merdeka

- Pertandingan Cerpen Kemerdekaan

- Forum Ikrar Setiaku

Gerakan murni

Menjadi harapan kita semua untuk melihat generasi masa hadapan Malaysia berusaha mengekalkan perpaduan yang dikecapi dengan menjadikan Rukun Negara sebagai asas penyatuan.

Penubuhan KRN dan SRN boleh diibaratkan sebagai satu gerakan murni yang perlu diberi sokongan oleh semua lapisan masyarakat.

Dengan tekad untuk terus memperkasakan perpaduan antara rakyat, semua pihak diharap dapat mempromosikan dan menggalakkan penyertaan pelajar untuk aktif di dalam KRN dan SRN serta menyokong penuh penubuhannya.

Melalui sokongan ini, KRN dan SRN akan terus mekar berkembang dan berupaya menjadi organisasi yang menghasilkan generasi anak bangsa yang patriotik dan sayangkan negara dengan mendalami pengertian prinsip Rukun Negara.