Manchester United akhirnya ʻbuangʼ Cristiano Ronaldo

Cristiano Ronaldo Foto: AFP
Cristiano Ronaldo Foto: AFP
A
A
A

BINTANG dan kapten skuad Portugal, Cristiano Ronaldo sah meninggalkan Manchester United, hasil persetujuan bersama berkuat kuasa serta-merta pada Selasa.Bagi Merak Jalanan, ia adalah satu penyelesaian yang terbaik dan ‘aman damai’.

Daripada memendam rasa, baiklah berpisah. Orang kata move on.

Sepanjang dua era di Old Trafford, pemain berusia 37 tahun itu telah meledak 145 gol dalam 346 penampilan.

Sekadar imbas kembali, Ronaldo menyertai semula Manchester United pada Ogos 2021 tetapi nampaknya dia sukar menyesuaikan diri di bawah pengurus The Red Devils, Erik ten Hag sejak pengendali Belanda itu tiba di Old Trafford musim ini.

Menjelang Piala Dunia 2022 di Qatar, Ronaldo membuat kenyataan kontroversi dalam satu temu bual bersama Piers Morgan.

Ronaldo mendakwa dirinya dikhianati oleh beberapa individu dalam pasukan setelah kembali ke kelab yang melonjakkan namanya sebelum ini.

Malah, katanya, dia juga tidak lagi mempunyai rasa hormat terhadap ten Hag.

Sementara itu, kata ten Hag, Ronaldo enggan dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Tottenham Hotspur dan penyerang itu meninggalkan padang sebelum tamat perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Ronaldo akui kesal dengan tindakannya itu tetapi dia memang tidak senang dengan ten Hag.

Merak Jalanan suka dengan kenyataan Ronaldo selepas ‘berpisah’. Katanya, dia sentiasa menyayangi kelab tersebut dan peminat. Perasaannya tidak berubah tetapi sudah sampai masa untuknya mencari cabaran baharu.

Malah, dia turut mendoakan pasukan terus berjaya, sementara pihak satu lagi mengucapkan terima kasih atas sumbangannya selama ini.‘Sengketa’ ditamatkan dengan cara baik. Tak perlu gaduh-gaduh, tak perlu bertikam lidah, tak perlu cabar-mencabar.

Kini Ronaldo bebas beraksi untuk mana-mana pasukan. Jadi, sama-samalah kita nantikan kelab baharu pilihannya selepas tamat Piala Dunia nanti.