Axiata perbaharui Ikrar Bebas Rasuah

Bee Kean (tiga dari kanan) bersama kepimpinan Kumpulan Axiata yang memperbaharui ikrar bebas rasuah di ibu pejabat Axiata pada Rabu.
Bee Kean (tiga dari kanan) bersama kepimpinan Kumpulan Axiata yang memperbaharui ikrar bebas rasuah di ibu pejabat Axiata pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Axiata Group Berhad (Axiata) mengulangi komitmennya untuk mewujudkan persekitaran operasi bebas rasuah menerusi Ikrar Bebas Rasuah (IBR) seperti yang dilakukan kali pertama pada 2018.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, Axiata memaklumkan, IBR itu merupakan usahanya untuk mewujudkan masyarakat bebas rasuah selain menyokong Pelan Anti Rasuah Kebangsaan 2019-2023 sekali gus menggalakkan ketelusan, akauntabiliti dan integriti di semua peringkat.

Kenyataan itu turut memaklumkan, IBR yang diperbaharui itu juga menepati intipati Pelan Pencegahan Rasuah Axiata yang digubal dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah tahun lalu yang menyokong nilai Integriti Tanpa Kompromi Prestasi Luar Biasa (UI.EP)

"Axiata akan memastikan piawaian tadbir urus tertinggi mengikut Risiko Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Pematuhan yang telah ditubuhkan di Pusat Korporat dan semua syarikat operasi serantau.

"Axiata juga telah menubuhkan Jawatankuasa Hadiah, Derma dan Tajaan di semua syarikat kumpulan untuk menegakkan dasar yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, komitmen syarikat memperbaharui IBR tersebut adalah sebagai mengulangi pendirian sifar toleransi Axiata terhadap rasuah selain menegakkan tahap integriti tertinggi dan piawaian Tadbir Urus Korporat sebagai sebuah syarikat terkemuka di rantau ini.

"Ia adalah asas perniagaan kami untuk memajukan Asia dan dalam konteks amalan syarikat, komitmen ini melahirkan budaya integriti untuk mencapai kejayaan melalui amalan perniagaan yang beretika selain usaha kecemerlangan dalam semua bidang perniagaan.

"Ini seterusnya bagi mencapai wawasan kita untuk menjadi 'The Next Generation Digital Champion' dan menyemarakkan cita-cita sebagai sebuah syarikat serta peneraju industri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Vivek Sood mewakili kumpulan itu menandatangani ikrar berkenaan di hadapan Pengarah Tadbir Urus Sektor Awam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lim Bee Kean di ibu pejabat Axiata.