BSMM tandatangan Ikrar Bebas Rasuah

Kepimpinan BSMM, pekerja dan ahli menyertai Ikrar Kepimpinan BSMM.
Kepimpinan BSMM, pekerja dan ahli menyertai Ikrar Kepimpinan BSMM.
A
A
A

SHAH ALAM - Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi menggalakkan tadbir urus lebih baik serta budaya integriti dalam organisasi.

Ketua Setiausaha BSMM, Hakim Hamzah berkata, ia menandakan satu kejayaan dalam komitmen organisasi itu untuk memupuk kesedaran dan pematuhan terhadap amalan antirasuah.

"Ikrar ini seterusnya mewakili dedikasi kami yang tidak berbelah bahagi untuk mematuhi piawaian tertinggi etika operasi, memerangi rasuah dan menjadi contoh untuk diikuti oleh orang lain.

"Kami mahu memupuk kesedaran di kalangan kepimpinan, kakitangan dan ahli organisasi tentang kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni di samping memupuk integriti sebagai tanggungjawab sukarelawan kemanusiaan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu Hakim berkata, BSMM sentiasa mematuhi standard operasi etika yang tinggi selain memastikan penyeliaan terbaik terhadap dana kemanusiaan bagi mengekalkan kepercayaan dan sokongan orang ramai.

"Sejak 2021, BSMM telah menguruskan lebih RM37 juta dana dalam menyokong pelbagai usaha kemanusiaan di Malaysia dan luar negara.

Hakim (kanan) menyerahkan IBR kepada Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor (kiri).
Hakim (kanan) menyerahkan IBR kepada Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor (kiri).

“Sebarang bentuk rasuah sama ada aktif atau pasif, boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai, penderma, ahli, serta orang yang diamanahkan kepada kami sebagai pertubuhan kemanusiaan yang tidak berat sebelah," ujarnya.

Sementara itu Hakim turut menggesa organisasi lain menyertai IBR sebagai usaha memerangi gejala berkenaan.

Beliau berkata, dengan bekerjasama semua pihak, ia dapat memupuk persekitaran yang telus, berakauntabiliti serta adil sekali gus memacu pertumbuhan mampan dan kemakmuran.