Syarikat didenda RM10,000 guna alatan komunikasi tidak diperakui

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KULIM - Sebuah syarikat pada Rabu didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menggunakan kelengkapan komunikasi tidak diperakui dan radas yang menyebabkan gangguan mudarat pada Februari 2019.

Pengakuan bersalah itu dibuat wakil syarikat Z In Hotel Sdn Bhd iaitu Goh Siew Leong di hadapan Hakim Mirza Mohamad.

Mahkamah memerintahkan syarikat berkenaan membayar denda RM2,000 bagi pertuduhan pertama manakala RM8,000 untuk pertuduhan kedua.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat itu dituduh menggunakan kelengkapan komunikasi tidak diperakui sebagaimana dikehendaki Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, iaitu dua unit GSM Mobile Repeater model GSM-990 di Taman Kemuning di sini, pada 2.34 petang, 20 Februari 2019.

Bagi kesalahan itu, syarikat berkenaan didakwa mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dibaca bersama Peraturan 16(3) Peraturan-Peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan sama.

Sekiranya disabit kesalahan, syarikat itu boleh dihukum mengikut Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, syarikat itu didakwa dengan sengaja menggunakan radas iaitu 'cellular booster' dengan cara menyebabkan gangguan mudarat di alamat, waktu dan tarikh yang sama seperti pertuduhan pertama tersebut.

Pertuduhan mengikut Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 dan boleh dihukum di bawah Peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah juga memerintahkan barang kes dilucutkan hak kepada pihak pendakwaan.

Wakil syarikat itu membayar denda berkenaan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Fazril Sani Mohamed Fadzil manakala OKS diwakili peguam Darwin Lim Chee Chien. - Bernama