Lelaki miliki kilang, hasil hutan haram didenda RM32,000

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BESUT - Seorang pemilik kilang kayu didenda sebanyak RM32,000 kerana memiliki hasil hutan dan kilang secara tidak sah oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa.

Hakim Wan Azimah Yaacob membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Mohd Zulkifli Mohd Husin, 35, yang berdepan dengan dua pertuduhan mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Mohd Zulkifli dituduh memiliki hasil hutan iaitu 141 tual kayu balak bulat dan 4,875 keping kayu sedia pelbagai spesis serta saiz tanpa membayar royalti, premium ses atau caj lain yang perlu dibayar kepada pihak berkuasa negeri.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menempatkan, membina, mendirikan, menubuhkan, mengendalikan atau menyenggara satu industri berasaskan kayu tanpa lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa negeri.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan Mohd Zulkifli pada jam 1 petang, 16 Ogos lalu di sebuah kilang Sawmill, Kampung Batu 13, Tenang Hulu Besut, Besut.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 84 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 dan Seksyen 3 (1) Enakmen Industri Berasas Kayu (pindaan) 2011.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Noor Husnita Mohd Radzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: