[VIDEO] 'Kami macam orang baru kahwin'

Mohammad Nizar ketika mengangkat sumpah jawatan Exco di hadapan Sultan Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Selasa.
Mohammad Nizar ketika mengangkat sumpah jawatan Exco di hadapan Sultan Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Selasa.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Exco Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan kerjasama barisan baharu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN di negeri itu seperti pasangan baru berkahwin.

Beliau berkata, meskipun bakal memperlihatkan satu senario yang berbeza, namun akan dapat ditangani dengan baik kerana kedua-duanya sudah saling mengetahui kelemahan dan kelebihan masing-masing.

"Buat masa ini, kita macam orang baru berkahwin la. Kalau mempelai saling tak kenal, maka mereka akan mengalami senario berbeza.

"Tetapi kami saling mengenali, PH mengenali BN begitu juga BN mengenali PH, cumanya sebelum ini kami tak pernah sanding sekali. Itu sahaja.

"Untuk pengalaman-pengalaman itu, kita rasakan sebagai satu cabaran untuk memberikan satu politik baru yang baik di Perak," katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco di Istana Iskandariah di sini pada Selasa.

Bekas Menteri Besar Perak itu berkata, baik PH mahupun BN masing-masing sudah bersedia untuk melupakan kisah lama demi mencapai persefahaman yang baik dalam mengemudi pentadbiran negeri.

Katanya, dalam realiti politik sekarang, mereka perlu mencari perkara-perkara yang boleh dihadapi demi kebaikan rakyat dan melupakan semua hal yang menyebabkan perselisihan serta merugikan rakyat.

"Kita hendakkan rakyat melihat bahawa tidak ada lagi marah memarahi, maki mencaci dan sebagainya tetapi hormat-menghormati antara parti-parti politik.

Artikel Berkaitan:

"Barisan (Exco) ini wujud untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat," katanya.

Pada Selasa, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Tiga daripada ADUN berkenaan merupakan wakil rakyat BN daripada UMNO iaitu Datuk Zolkafly Harun (Lintang); Salbiah Mohamed (Temengor) dan Khairuddin Abu Hanipah (Belanja).

Manakala tujuh lagi merupakan gabungan parti daripada PH iaitu empat wakil DAP, A Sivanesan (Sungkai), Loh Sze Yee (Jalong), Teh Kok Lim (Aulong) dan Woo Kah Leong (Pasir Bedamar).

Turut mengangkat sumpah dua ADUN PH daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sandrea Ng Shy Ching (Teja) dan Mohd Azlan Helmi (Tualang Sekah).

Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga ADUN Sungai Rapat pula menjadi wakil tunggal Parti Amanah Negara (Amanah).

Timbalan Pengerusi Amanah Perak itu pernah menjadi menteri besar selama 11 bulan ketika pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) di Perak pada 2008 dan dilantik sebagai Exco Pelaburan, Industri Dan Pembangunan Wilayah Perak semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH).