'Ubi muda' Sepanyol uji veteran Costa Rica

Para pemain Sepanyol menjalani latihan menjelang sepak mula menentang pertama menentang Costa Rica pada Khamis. -Foto Reuters
Para pemain Sepanyol menjalani latihan menjelang sepak mula menentang pertama menentang Costa Rica pada Khamis. -Foto Reuters
A
A
A

UJIAN sulung 'ubi muda' Sepanyol yang dibimbing Luis Enrique pada penampilan pertama di pentas besar Piala Dunia menentang Costa Rica dalam saingan Kumpulan E bakal menarik minat penyokong bola sepak.

Beraksi di Stadium Al Thumama pada tengah malam Khamis, skuad yang dibarisi pemain muda itu akan menguji kekuatan pasukan pemain veteran penuh pengalaman.

Skuad muda itu dibentuk tiga tahun lalu susulan persembahan hambar di Brazil 2014 dan Rusia 2018.

Pemain sensasi yang juga kapten, Sergio Busquets merupakan satu-satunya pemain yang kekal dari skuad juara 2010 di Afrika Selatan.

Enrique bertindak berani menyediakan pemain generasi baharu dalam persiapan ke Qatar.

Pemain tengah Barcelona, Pedri, 19, Gavi, 18, serta rakan sepasukan mereka di kelab Catalunya itu, Ferran Torres, 22, adalah tiga daripada pemain muda dalam skuad Sepanyol.

Air tangan Enrique tidak kurang hebat apabila mengemudi La Roja ke separuh akhir Euro tahun lalu, namun mereka disingkirkan Itali menerusi penentuan penalti.

Dalam skuad Sepanyol kali ini, Enrique memilih 14 pemain berusia 25 tahun ke bawah dan purata usia skuad itu ketiga paling muda dalam kalangan 32 pasukan di Qatar.

Artikel Berkaitan:

"Kami satu pasukan yang mampu beraksi lama bersama, kami amat muda," kata Torres kepada wartawan pada Ahad.

Mengulas kemampuan pasukan itu mempamerkan prestasi cemerlang pada kejohanan itu, Torres memberitahu Sepanyol masih dalam proses pembikinan.

“Kami tidak menetapkan untuk berakhir di mana-mana kedudukan. Kami hanya perlu bermain sebaik mungkin untuk mencatat keputusan dan jika boleh mahu pergi jauh.

“Jika tidak mendapat keputusan yang dimahukan, kami tetap pulang dengan penuh bangga dan terus bekerja keras. Kami masih muda,” ujarnya.

Bagi Costa Rica, yang beraksi pada Piala Dunia keenam mereka, gambarannya sangat berbeza.

Enam daripada pemain skuad mereka beraksi pada kempen 2014, apabila Costa Rica layak dari 'kumpulan maut' mengetepikan Itali dan England.

Mereka kini berusia 30 tahun atau lebih, termasuk penyerang, Bryan Ruiz yang kini berusia 37 tahun.

Pasukan bimbingan Luis Fernando Suarez itu dikenali kerana aksi padu mereka apabila hanya melepaskan lapan gol pada aksi kelayakan.