209 kes dera kanak-kanak di Pulau Pinang

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

GEORGETOWN - Jumlah kes penderaan melibatkan kanak-kanak yang direkodkan pada tahun ini sehingga September adalah 209 kes.

Jumlah kes tersebut melibatkan lima daerah di negeri ini dengan 21 kes di Seberang Perai Utara (SPU), 97 kes di Seberang Perai Tengah (SPT), 14 kes di Seberang Perai Selatan, 58 kes di Timur Laut dan 19 kes di Barat Daya.

Exco Pembangunan Keluarga dan Wanita, Chong Eng berkata, mengikut pecahan jenis penderaan, jumlah penderaan seksual menunjukkan jumlah paling tinggi iaitu 91 kes.

"Selain penderaan seksual, kes pengabaian kanak-kanak mencatatkan 67 kes, diikuti fizikal (42 kes) dan penderaan emosi (9 kes)," katanya ketika menjawab soalan lisan A Kumaresan (PKR-Batu Uban) berhubung kes penderaan melibatkan kanak-kanak di Pulau Pinang pada tahun ini.

Kata Chong Eng (DAP-Padang Lalang), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa memberikan langkah segera dan sokongan kepada mangsa mengikut prosedur operasi standard (SOP) antaranya menyelamatkan kanak-kanak dalam tempoh 10 jam selepas aduan atau selepas menerima maklumat berkaitan penderaan.

"Selain itu, langkah yang diambil adalah dengan membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya jika ada keperluan dan pengesahan pegawai perubatan berkaitan penderaan dan pemberian khidmat nasihat serta intervensi kaunseling.

"JKM juga akan memperoleh perintah sementara daripada mahkamah mengikut Seksyen 19, Akta Kanak-Kanak 2001 dan perintah tetap mengikut Seksyen 30 Akta Kanak-Kanak 2001 untuk menempatkan kanak-kanak di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai atau ditempatkan di tempat selamat," katanya.

Beliau menambah, Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak yang telah dilantik mengikut Seksyen 7, Akta Kanak-Kanak 2001 juga memainkan peranan dalam melaksanakan program advokasi berkaitan penderaan kanak-kanak di peringkat komuniti setempat.

Artikel Berkaitan:

Chong Eng berkata, antara faktor dan punca berlakunya penderaan kanak-kanak adalah masalah kewangan, kecuaian ibu bapa, penjaga atau pengasuh, pendera terlibat jenayah, kanak-kanak hiper aktif, pengaruh siber, masalah kesihatan ibu bapa, penjaga atau pengasuh, kanak-kanak mengikut teman lelaki dan pengaruh rakan sebaya.