LBS catat keuntungan RM528.9 juta bagi suku ketiga 2022

A
A
A

No Image Caption

SHAH ALAM - Syarikat pemaju perumahan, LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM528.9 juta pada suku ketiga bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember ini (Q3FYE22).

Kewangan yang kukuh ini menunjukkan peningkatan pendapatan sebanyak 108 peratus berbanding pada tahun 2021 yang mencatatkan keuntungan sebanyak RM254 juta.

Bukan itu sahaja, keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATMI) masing-masing meningkat sebanyak 96 peratus dan 95 peratus dengan peningkatan tahun ke tahun, daripada RM20 juta kepada RM39.2 juta dan daripada RM18.1 juta kepada RM35.4 juta.

Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang terbesar kepada keuntungan syarikat dimana mencatatkan peningkatan dua kali ganda daripada RM243.2 juta kepada RM512.2 juta pada Q3FYE22.

Pendapatan ini sebahagian besarnya didorong oleh kadar pengambilan positif daripada projek utama LBS di Bukit Jalil, LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth dan Taman Perindustrian Alam Awana.

Selain itu, LBS turut mengumumkan bahawa projek-projek pembangunan di Lembah Klang turut menyumbang lebih 85 peratus kepada pendapatan syarikat bagi tempoh kewangan semasa.

Artikel Berkaitan:

TAN SRI LIM HOCK SAN
TAN SRI LIM HOCK SAN

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata, LBS telah merekodkan prestasi yang sangat baik dan pihaknya amat gembira dengan pencapaian tersebut.

“Pencapaian ini menunjukkan bahawa permintaan hartanah mampu milik akan terus kukuh dan relevan. LBS berada di landasan yang tepat dengan pembinaan pembangunan di lokasi dan kawasan strategik di samping harga berpatutan telah membuahkan hasil sekali gus berjaya mengekalkan prestasi yang baik sepanjang tahun 2022.

“LBS berhasrat untuk melancarkan hartanah bernilai RM424 juta pada suku keempat tahun ini dan ianya bakal memberikan kami kelebihan untuk mengakhiri tahun 2022 dengan cemerlang dan positif.”katanya di sini, hari ini.

Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022, pendapatan dan PATMI masing-masing melonjak sebanyak 46 peratus dan 69 peratus kepada RM1.3 bilion dan RM100.6 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021.

LBS turut mengumumkan bahawa sehingga 21 November 2022, LBS telah melepasi sasaran jualan hartanah RM1.6 bilion iaitu peningkatan 14 peratus kepada RM1.83 bilion. Sehingga 31 Oktober 2022, LBS mempunyai tanah untuk pembangunan masa hadapan seluas 2,663 ekar dan nilai jualan tanpa bil sebanyak RM2.54 bilion.