'Beri peluang Anwar jadi PM, tak perlu SD ahli Parlimen'

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Berlaku situasi kali pertama dalam negara apabila Parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermaksud tidak ada mana-mana blok parti politik memperoleh majoriti membentuk kerajaan.

Ahli Majlis Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, maka untuk memastikan kerajaan terbentuk, parti-parti politik perlu bergabung untuk memastikan cukup majoriti diperlukan di Dewan Rakyat menurut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Faiz, mengikut convention Westminster, parti memperoleh kerusi terbanyak dan terbesar perlu diberikan peluang terlebih dahulu untuk membentuk kerajaan.

Ini kerana katanya, blok parti terbabit mendapat sokongan terbanyak melalui jumlah kerusi malah mempunyai jumlah undi popular yang terbanyak.

"Di dalam PRU15, Pakatan Harapan (PH) selaku blok politik terbesar mempunyai 82 kerusi dan dalam aspek undi popular pula, PH mendapat 5,823,931 juta undi atau 37.97 peratus iaitu jumlah undi terbesar dalam blok politik parti bertanding.

"Perikatan Nasional (PN) pula hanya mendapat 4,667,429 undi atau 30.24 peratus dan BN mendapat 3,433,369 undi atau 22.42 peratus.

"Berdasarkan kepada asas ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberikan peluang membentuk kerajaan selaku pemimpin utama daripada blok parti politik yang memenangi jumlah kerusi paling banyak dalam Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Faiz menambah, jumlah kerusi dan peratusan undi rakyat telah dimanifestasikan bahawa Anwar adalah pilihan rakyat Malaysia sebagai Perdana Menteri ke-10.

Artikel Berkaitan:

"Apatah lagi, PH telah mencadangkan nama Anwar sebagai Perdana Menteri sepanjang kempen PRU15 ini.

"Pelantikan Anwar juga bertepatan dengan asas sistem demokrasi yang diamalkan bukan sahaja di Malaysia malah di kebanyakan negara lain di dunia bahawa parti yang memperolehi kerusi dan undi majoriti perlu dipilih sebagai Perdana Menteri," katanya.

Dalam pada itu, Faiz berkata, episod hitam Langkah Sheraton tidak boleh berulang lagi.

Menurutnya, pelantikan Anwar juga bertepatan dengan semangat Undang-undang Anti Lompat Parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghalang ahli Parlimen bertindak sendirian dalam soal memilih Perdana Menteri dan menyerahkannya kepada Ketua Parti.

"Oleh itu, dokumen akuan bersumpah (SD) setiap ahli Parlimen tidak lagi diperlukan. Ini bermaksud, pencalonan Perdana Menteri oleh ketua parti (secara blok) adalah memadai bagi menunjukkan kepercayaan majoriti ahli Parlimen kepada Anwar.

"Inilah yang berlaku ketika mana Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri dan pelantikan Menteri Besar Perak pada Selasa.

"Kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam memutuskan perkara ini amat diharapkan oleh jutaan rakyat Malaysia yang mahukan sebuah negara yang stabil, bersih dan adil," tambah Faiz.