Anwar sedia makanan, minuman kepada petugas media

Selain diberikan kerusi dan meja untuk memastikan keselesaan petugas media, beberapa kakitangan Presiden PKR itu turut menyediakan makanan dan minuman.
Selain diberikan kerusi dan meja untuk memastikan keselesaan petugas media, beberapa kakitangan Presiden PKR itu turut menyediakan makanan dan minuman.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petugas media yang menunggu seawal jam 7 pagi akhirnya dibenarkan memasuki kawasan perumahan yang didiami Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi ini.

Selain diberikan kerusi dan meja untuk memastikan keselesaan petugas media, beberapa kakitangan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut menyediakan makanan dan minuman.

Salah seorang petugas media berkata, dirinya lega setelah dibenarkan masuk bagi membuat liputan dengan lebih dekat di hadapan rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya sampai seawal jam 7 pagi, masa tu tak boleh masuk, memang risau sebab bimbang terlepas gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Alhamdulillah, mungkin ada sedikit kekeliruan, saya dan beberapa lagi petugas media telah dibenarkan masuk," katanya kepada Sinar Harian pada pagi ini.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Pengerusi PH itu yang menyediakan kemudahan kepada para petugas media.

"Terima kasih kepada Datuk Seri sediakan makanan dan minuman, selain itu turut disediakan meja dan kerusi untuk keselesaan kami," katanya.

Petugas media dari beberapa agensi hadir seawal jam 5 pagi di sekitar kawasan pintu masuk perumahan yang didiami Anwar bagi mendapatkan perkembangan terkini berkaitan situasi berkaitan pembentukan kerajaan yang dijangka pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tiada mana-mana gabungan parti berjaya memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan untuk membentuk kerajaan.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ketua-ketua parti politik yang mempunyai majoriti terbanyak mengemukakan gabungan baharu dan calon Perdana Menteri kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang, Selasa.