Ketua UMNO bahagian desak Ahmad Zahid berundur

Yahya mengetuai sidang akhbar bersama ketua-ketua UMNO bahagian di Riverside pada Isnin.
Yahya mengetuai sidang akhbar bersama ketua-ketua UMNO bahagian di Riverside pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Desakan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur dilakukan atas dasar sayang dan mahu memperkukuhkan parti.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahya Mat Ghani berkata, desakan oleh sebahagian ketua UMNO bahagian yang mahukan penstrukturan baharu dibuat bagi menyelamatkan parti.

Menurutnya, pihaknya tidak akan keluar parti ketika UMNO dalam keadaan lemah selepas kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu.

"Kita tidak akan tukar parti. Kalau hendak tukar parti sudah lama Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berbuat demikian.

"Mereka sudah ditawarkan untuk jadi calon Perikatan Nasional (PN) tetapi kita masih istiqamah dan akan terus berjuang bersama UMNO," katanya pada sidang akhbar bersama ketua-ketua UMNO bahagian di Riverside di sini pada Isnin.

Sidang akhbar itu mewakili sebahagian ketua UMNO bahagian dari seluruh negara termasuk Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang dan Perak.

Turut hadir bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Pada Isnin, pimpinan BN dan PH diketuai Ahmad Zahid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan di Hotel Seri Pacific di sini dipercayai bagi memuktamadkan kerjasama membentuk kerajaan campuran.

Artikel Berkaitan:

Mengulas berkenaan isu itu, beliau menegaskan akar umbi menolak cadangan tersebut selari dengan keputusan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu memutuskan 'No Anwar, No DAP'.

"Perkara ini jelas, jika mahu juga diadakan kerjasama, parti perlu adakan PAU Khas untuk menentukan kedudukan.

"Tak boleh hanya dapat persetujuan Ahli Parlimen BN. UMNO perlu akur dengan keputusan yang telah dibuat dan mengikut Perlembagaan parti, " katanya.

Pada masa sama beliau berkata, ketua UMNO bahagian yang hadir juga sepakat untuk tidak menyertai gabungan PH mahupun PN dan mahu kekal sebagai pembangkang.

"Jadi pembangkang selama lima tahun bukan masalah, parti lain ada yang jadi pembangkang lebih 50 hingga 60 tahun.

"BN perlu terima hakikat kita telah hilang segala-galanya. Kami minta Ahmad Zahid berlapang dada dan berundur secara terhormat untuk beri laluan kepada pemimpin lain bangkit pulihkan UMNO untuk jangka masa lima tahun akan datang," katanya.