BN perhalusi kerjasama berpandukan prinsip asas parti

Asyraf Wajdi - Foto Bernama
Asyraf Wajdi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Apa jua tawaran sama ada daripada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) akan dinilai dan diperhalusi berpandukan kepada prinsip asas Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, prinsip gabungan parti itu hanya satu iaitu membawa kebaikan kepada kestabilan dan kemakmuran untuk rakyat serta negara.

Menurut pandangan beliau secara peribadi, BN boleh kekal sebagai pembangkang untuk semak dan imbang.

"Cuma persoalannya, apakah kerajaan boleh dibentuk tanpa BN?

"Apakah BN wajar biarkan negara berada dalam keadaan Parlimen tergantung," ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi meluahkan kehairanan apabila PH dan PN sanggup memberi pelbagai tawaran kepada pemimpin-pemimpin BN untuk membentuk kerajaan.

"Tak sangka pula BN yang disumpah seranah, dikecam, ditohmah dan difitnah dengan pelbagai label dan gelaran, namun akhirnya hari ini kepimpinan diminta pula menilai tawaran-tawaran yang ditawarkan oleh PH dan PN hanya untuk membolehkan kerajaan dibentuk," katanya.

Pada Ahad, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan parti politik membuat perakuan gabungan politik untuk menubuhkan kerajaan baharu sebelum jam 2 petang Isnin.

Artikel Berkaitan:

Seri Paduka Baginda juga menitahkan agar gabungan parti politik yang dipersetujui mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Bagaimanapun pada Isnin, Seri Paduka Baginda memberi perkenan untuk melanjutkan proses mengemukakan gabungan bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri hingga jam 2 petang Selasa.